Thursday, November 18, 2010

Elokkah puasa sepanjang 10 hari pertama Zulhijjah?

Berikut adalah beberapa hadith palsu yang saya kutip daripada kitab Tazkirat ul-Mawdhu’at, sebuah kitab karangan Imam Muhammad Tahir bin Ali al-Hindi al-Fattani (m. 986Hijrah), seorang muhaddith (pakar hadith) di India, tentang hadis-hadis palsu.


عن علي رفعه "في أول ليلة من ذي الحجة ولد إبراهيم فمن صام ذلك اليوم كان كفارة ستين سنة" فيه محمد ابن سهل يضع.

Daripada Ali yang menisbatkan hadith ini kepada nabi: “Di malam pertama Zulhijjah telah dilahirkan Ibrahim, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu (hari pertama Zulhijjah) maka ianya menjadi kaffarah (penghapusan dosa) 60 tahun.”

Kata Imam Muhammad Tahir: Di dalam isnad hadith ini ada Muhammad bin Sahl yang memalsukan hadith.

عن عائشة "صيام أول يوم من العشر يعدل مائة سنة واليوم الثاني يعدل مائتي سنة فإذا كان يوم التروية يعدل ألف عام وصيام يوم عرفة يعدل ألفي عام" فيه محمد بن المحرم كذاب.
Daripada Aishah: “Puasa hari pertama daripada 10 (hari-hari pertama Zulhijjah) bersamaan dengan 100 tahun (berpuasa), dan hari kedua bersamaaan 200 tahun (dan seterusnya), maka apabila Hari Tarwiyah (8hb Zulhijjah) bersamaan dengan 1000 tahun, dan puasa hari Arafah bersamaan 2000 tahun.”

Kata Imam Muhammad Tahir: Di dalam isnad hadith ini ada Muhammad bin al-Muharram, seorang penipu.

"من صام يوم التروية أعطاه الله عز وجل مثل ثواب أيوب على بلائه وإن صام يوم عرفة أعطاه الله ثواب عيسى بن مريم وإن لم يأكل يوم النحر حتى يصلي أعطاه الله ثواب من صلى ذلك اليوم فإن مات إلى ثلاثين يوما مات شهيدا" فيه حماد بن عمر كذاب.

“Barangsiapa berpuasa hari Tarwiyah (8hb Zulhijjah) Allah akan berikan kepadanya pahala Nabi Ayub yang sabar dengan bala (yang menimpanya). Dan sekiranya dia berpuasa hari Arafah Allah akan berikan kepadanya pahala Nabi Isa ibn Maryam. Dan sekiranya dia tidak makan pada hari raya Korban sehinggalah dia solat (hari Raya), Allah akan berika kepadanya pahala seseorang yang bersolat selama 30 hari, dan sekiranya dia mati maka mati shahid.”

Kata Imam Muhammad Tahir: Di dalam isnad hadith ini ada Hammad bin Umar, seorang penipu.

Tentang berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, berikut kata guru saya, Shaikh Ali bin Hasan bin Ali al-Halabi, seorang muhaddith di Jordan:

وقد روى الإمامُ أبو داودٍ: عن عبد الله بن عبَّاس قال: قال رسولُ الله -صلى اللهُ عليهِ وسلَّم-: "ما مِن أيَّام العملُ الصَّالح فيهنَّ أحبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيَّام"، قال الرَّاوي: يعني أيَّام العشر، قالوا: يا رسول الله! ولا الجهادُ في سبيل الله؟ فقال -صلى اللهُ عليهِ وسلَّم-: "ولا الجهادُ في سبيلِ الله؛ إلا رجلٌ خرج بنفسِه ومالِه؛ فلم يرجعْ مِن ذلك بشيءٍ"..
Imam Abu Daud telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas: Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda: “Tidak ada hari di mana amal soleh di dalamnya adalah lebih dicintai oleh Allah berbanding hari-hari ini.” Berkata perawi hadith ini: Yakni, 10 hari Zulhijjah.
Sahabat-sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Walaupun Jihad di jalan Allah?”
Jawabnya: “Walaupun jihad di jalan Allah, kecuali seorang yang keluar (berjihad) dengan jiwanya dan hartanya lalu tidak pulang dengan apa-apapun daripadanya.”

كلمة (العمل الصَّالح) كلمةٌ عامَّة؛ تشمل: الصَّلاة، والصِّيام، والصدقةَ، والذِّكر، وغير ذلك..
Kalimat “amal soleh” adalah kalimat umum, yang merangkumi solat, puasa, sedekah, berzikir dan selainnya.

فبعضُ أهلِ العلم يقول بأنَّه يُصام في هذه العشرة -كلِّها-.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa diamalkan puasa untuk seluruh 10 hari zulhijjah.

لكنَّ الصَّواب: كما في حديث عائشة -رضي الله عنها-وهي التي يقول عنها الحافظُ ابنُ حجرٍ: (هي أعلمُ النَّاس بِعبادة رسول الله -صلَّى الله عليه وسلم- في سفَره وحضَره، في ليلِه ونهارِه)-؛ قالت: "لَم أرَ رسول الله -صلى اللهُ عليهِ وسلَّم- يصومُ العشرَ من ذي الحجةِ قطُّ".
فهذه إشارةٌ إلى أن النبيَّ -عليهِ الصَّلاةُ والسَّلام- لم يَصُمْها كاملةً.
Tetapi, yang sebetulnya, seperti di dalam hadith Aishah (ra) yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajr sebagai “Dialah (Aishah) manusia yang paling berilmu tentang ibadat Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) di keadaan safar (bepergian) dan hadar (tidak bepergian), di malamnya mahupun siangnya.”

Kata (Aishah): “Aku tidak pernah melihat Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) berpuasa 10 hari zulhijjah langsung!”
[Sahih – Muslim, Tirmizhi, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain]

Ini adalah isyarat bahawa nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam) tidak pernah berpuasa (hari-hari tersebut) seluruhnya.

Tetapi adakah baginda puasa sebahagian dan meninggalkan sebahagiannya?

Nas-nas (yang sahih) tidak mengatakan apa-apa tentang ini, tetapi umum amal soleh termasuk ibadat puasa, tiada syak dan tiada ragu lagi.

Namun, untuk berpuasa semua (10 hari zulhijjah) maka tidak ada dalil yang jelas. Malah, nas ini menafikan secara jelas bahawa nabi tidak berpuasa pada kesemua 10 hari-hari zulhijjah.

Mungkin ada yang berkata: Apa yang kita nak buat dengan hadith di mana salah seorang sahabat berkata: “Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) biasa berpuasa sembilan daripada zulhijjah”?

Kami menjawab: Golongan muhaqqiqun (ulama yang mengkaji semula dalil-dalil) di kalangan ulama menyebutkan bahawa perkataan “sembilan” di sini bermaksud “hari yang ke sembilan” iaitu hari Arafah, dan itulah hari yang menghapuskan dosa-dosa 2 tahun, setahun yang lepas dan setahun yang akan datang, seperti di dalam Sahih Muslim.

إذن: الذين يَصومون بِنيَّة عموم العمل الصَّالح في العشرة أيَّام كلِّها؛ هذا ليس مِن السُّنَّة في شيء.
Oleh itu, barangsiapa yang berpuasa dengan niat umum amal soleh pada hari-hari 10 zulhijjah kesemuanya, maka ini bukanlah sunnah nabi!

ووَرد في "مسند الإمامِ أحمد": عن عبد الله بن عمر -رضيَ اللهُ-تعالى-عنهُما-: أن رسولَ اللهِ -صلَّى الله عليه وسلَّم- قال -في رواية أخرى للحديثِ الأوَّل-نفسِه- قال: "ما مِن أيَّام أعظم عند الله، ولا أحبُّ إليه العملُ فيهنَّ مِن هذه الأيَّام العشْر؛ فأكثِروا فيهِنَّ مِن التَّكبير والتَّهليل والتَّحميد".
فهذه إشارة توضِّح -أكثر وأكثر- أن المقصودَ بالعمل الصَّالح -أصالةً-؛ هو الذِّكرُ لله -الإكثارُ مِن ذِكر الله-؛ {أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ}، {فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلا تَكْفُرُونِ}.
Di dalam Musnad Imam Ahmad: Daripada Abdullah bin Umar (ra) bahawa Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda – di dalam riwayat lain kepada hadith pertama (di atas) – sabdanya: “Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah, dan amalan-amalan di dalamnya lebih dicintai olehNya, berbanding sepuluh hari-hari ini. Maka perbanyakkanlah bertakbir (mengucap Allahu akbar), bertahlil (mengucap la ilaha illallah) dan bertahmid (mengucap alhamdulillah) di dalamnya (hari-hari tersebut).”

Maka ini isyarat yang memperjelaskan – dengan banyaknya – maksud asal perkataan “amal soleh” , iaitu zikrullah, memperbanyakkan berzikir.

“Sesungguhnya, dengan zikrullah hati-hati menjadi tenang.” [ar-Ra’d:28]
“Ingatilah Aku Aku akan ingat kepadamu, dan bersyukurlah dan jangan kufur.” [al-Baqarah: 152]

Ringkas cerita:
Melakukan amal-amal soleh pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah sangat dianjurkan, lebih-lebih lagi berzikir dengan takbir, tahmid dan tahlil. Amalan soleh yang lain juga boleh ditambah pada hari-hari tersebut, termasuk puasa, membaca al-Quran dan sebagainya. Puasa pada 9hb Zulhijjah memang dianjurkan oleh Rasulullah secara khusus, namun berpuasa KESEMUA hari-hari 10 zulhijjah tidak termasuk sunnah nabi, maka lebih baik ditinggalkan, kecuali 9hb, dan puasa hari-hari yang kita biasa puasa seperti Isnin dan Khamis.

Kita mesti faham bahawa tidak semua amalan soleh pada asalnya, adalah dikira soleh sekiranya ia bercanggah dengan Sunnah nabi dari segi perlaksaan.

Dan hadith-hadith palsu yang disebutkan di atas tidak boleh dijadikan sandaran sesuatu amalan, maka janganlah berpuasa hari pertama, kedua, ketiga dan seterusnya mengharapkan ganjaran seperti hadis palsu di atas.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment