Ini termasuk amalan-amalan di bulan Rejab, Sya'aban dan sebagainya yang telah banyak wujud kitab-kitab yang menerangkan tentang hadith-hadith palsu tentang amalan-amalan seumpama itu!
Sia-sia sahajalah pakar-pakar hadith ini menghabiskan tenaga mereka untuk mempelajari suatu bidang ilmu yang sangat sukar untuk dikuasai. Sia-sia sahajalah karya-karya para ulama hadith yang tersohor dahulu sehingga sekarang!
Kajilah semula hadith-hadith yang digunakan. Sekiranya kita berpenyakit, kita ikut nasihat doktor yang pakar, atau badan kita akan binasa... Mengapakah dalam bidang agama, kita tidak bersikap sedemikian?
Firman Allah: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” [al-Isra:36]
Sekiranya penglihatan, pendengaran, dan gerak hati semuanya dipertanggungjawabkan, apatah lagi hadith-hadith yang kita gunakan dalam ceramah dan petunjuk!
Dan sabda Rasulullah (sallalahu ‘alayhi wasallam): “Barangsiapa yang meriwayatkan sebuah hadith dariku yang dipandang sebagai dusta, maka termasuklah ia sebagai salah seorang pembohong!”
[Sahih Muslim]
Kenapa wujud hadith-hadith palsu dan lemah?
Secara ringkasnya, faktor-faktor yang mendorong lahirnya hadith-hadith palsu, seperti yang diterangkan para ulama hadith, adalah seperti berikut:
1. Politik
2. Fanatik kepada sesuatu kaum
3. Fanatik Mazhab
4. Golongan zindiq dan munafik
5. Ahli-ahli bid’ah
6. Golongan sufi yang sesat
7. Ulama jahat
8. Tukang-tukang cerita
9. Orang-orang yang mencari rezeki
10. Orang-orang yang mencari nama
Pendapat yang mengatakan harus beramal dengan hadith lemah bukanlah alasan! Kerana yang tahu sesuatu hadith itu lemah dan boleh diamal adalah ulama hadith, dan bukan sesiapa sahaja! Dan ulama yang membenarkan hadith lemah diamal meletakkan syarat-syarat!
Senang cerita, gunalah hadith-hadith yang sahih! Kitab-kitab sudah banyak di pasaran yang menerangkan hadith-hadith palsu dan lemah, dan yang menyenaraikan hadith-hadith yang sahih. Laburkanlah tenaga, wang serta masa untuk menyemak hadith-hadith yang digunakan, agar di Akhirat nanti kita tidak menyesal!