Thursday, January 7, 2010

Isu Kalimah "Allah" - Jalan Penyelesaian Terbaik

Kecoh sekarang tentang persoalan penggunaan kalimah "Allah" oleh orang-orang kristian sebagai ganti perkataan "Tuhan". Sehinggakan ada yang mengatakan ianya boleh membawa kepada kekufuran bagi sesiapa yang menyokong kalimah "Allah" digunakan oleh orang bukan Islam.

Saya rasa perkara ini perlu dilihat secara berperingkat-peringkat, atau dilihat daripada beberapa penjuru:
1) Ianya adalah persoalan yang perlukan Ijtihad, dan maka kaedah yang biasa digunakan dalam hal ijtihad: "Sesiapa yang benar di dalam ijtihadnya mendapat dua pahala, dan sesiapa yang salah di dalam ijtihadnya mendapat satu pahala." Dalam hal seperti ini, janganlah kita kafir mengkafir antara satu sama lain. Seperti juga persoalan: "Orang yang meninggalkan Solat kerana malas, adakah dia kafir atau tidak?" Para ulama berbeza pendapat berdasarkan ijtihad mereka. Walaubagaimanapun, mereka yang bermazhab Hanbali tidak mengkafirkan mereka yang bermazhab Shafie kerana mazhab Hanbali mengatakan: "Orang yang meninggalkan solat kerana malas maka jatuh kafir," dan mazhab Shafie pula mengatakan tidak!

2) Tolong bezakan hukum asal dengan hukum semasa, kerana keadaan semasa boleh menukarkan hukum asal sesuatu persoalan. Apakah hukum asal dalam penggunaan kalimah "Allah" bagi orang-orang bukan Islam untuk merujuk kepada Tuhan?  Semua orang bersetuju bahawa golongan musyrikin arab di zaman nabi memang menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada Tuhan.

Terlalu banyak contohnya di dalam al-Quran dan Hadith, seperti firman Allah: “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).


Dalam masa yang sama, mereka mempunyai nama-nama lain, seperti al-Laat, al-'Uzza, dan lain-lain untuk tuhan-tuhan mereka yang disembah selain Allah.

Nabi tidak pernah pula melarang orang-orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah "Allah", walaupun sekian lama berkuasa di Madinah, dan kemudian di Mekah, yang didiami orang-orang bukan Islam.

3) Keadaan semasa di Malaysia tidak sama dengan di negeri Arab. Ramai yang tidak tahu bahasa arab, dan tidak juga tahu tentang dalil-dalil hukum asal, seperti yang disebutkan di atas. Buktinya, apa yang berlaku sekarang, di mana ramai orang Islam bangkit menentang penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam. Perkara ini telah menimbulkan ketegangan di kalangan orang-orang Islam, dan ianya suatu perkembangan yang tidak sihat. Alasan mereka yang melarang juga munasabah, iaitu kerana kelemahan umat Islam dalam memahami persoalan ini menurut hukum asal, seperti yang disebut, secara ringkas, di atas.

Maka adakah wajar kita larang penggunaan kalimah "Allah" oleh orang-orang bukan Islam?

Hakikat yang diakui kedua-dua belah pihak ialah kelemahan umat Islam untuk memahami persoalan ini menurut hukum asal. Maka, untuk menjaga perpaduan dan menjaga umat Islam daripada tertipu oleh mubaligh-mubaligh kristian yang akan mengambil kesempatan atas kelemahan umat Islam sendiri, mereka yang menegah penggunaan kalimah "Allah" bagi orang-orang bukan Islam mempunyai alasan yang kuat juga!

قَالَ عَلِيٌّ حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ
Kata 'Ali bin Abi Talib: "Cakaplah kepada orangramai dengan apa yang mereka fahami, adakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan." [Sahih al-Bukhari]

4) Jalan penyelesaian terbaik, adalah dengan merujuk kepada asal perkataan "Allah". Seperti dalam kalimah

"Laa ilaaha ill-Allah"

yang boleh diterjemahkan kepada

"Tiada tuhan melainkan Allah".

Kalimah "Allah" adalah nama yang digunakan untuk merujuk kepada zat yang sedia wujud, yang mencipta dan mentadbir semua dan berkuasa penuh di sekalian alam semesta. Zat yang Maha Agung, yang Maha Esa, yang Maha Pemberi Rezeki.

Kalimah "ilaah" pula bermaksud "sesuatu yang disembah", samada ianya berhak disembah atau tidak. Maka terjemahannya menjadi:

"Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah (Tuhan yang mencipta sekalian alam, berkuasa penuh dan yang memberi rezeki)"

Maka, pada pendapat saya, adalah lebih tepat sekiranya dibenarkan kalimah "Allah" digunakan oleh orang-orang bukan Islam untuk merujuk kepada Tuhan yang bersifat seperti di atas SAHAJA, dan bukan tuhan yang bermaksud "sesuatu yang disembah" yang mereka fikir berhak selain daripada Tuhan yang Satu, yang bersifat seperti di atas. Bagi tuhan yang bukan bersifat di atas, dikategorikan sebagai "ilaah", dan disebut "ilaah" sebagai tanda tuhan yang tidak bersifat seperti di atas.

Contohnya:
Orang-orang kristian mempunyai kepercayaan "trinity" iaiti Tuhan tiga dalam satu, terbahagi kepada:
a. Tuhan Bapa (Tuhan Utama yang telah mencipta semua alam, yang Satu)
b. Tuhan Roh Kudus (tuhan sekunder yang juga disembah, tetapi bukan Tuhan Utama)
c. Tuhan Jesus (tuhan sekunder yang juga disembah, tetapi bukan Tuhan Utama)

Maka mereka dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" untuk yang pertama, tetapi disyaratkan meletakkan kalimah ilaah atau Ilah sebelum disebutkan Roh Kudus, contohnya: Ilah Roh Kudus, atau Ilah Jesus. Begitu juga sekiranya perkataan god atau tuhan yang tidak merujuk kepada Tuhan yang utama yang bersifat seperti di atas, maka perkataan "Ilah" digunakan, bukannya "Allah".

Dengan cara ini, orang-orang Islam tidak akan tertipu kerana tidak semua tuhan adalah Allah, dan wujud tuhan (Ilah) yang disembah selain Allah, dan inilah hakikat Syirik! Dalam masa yang sama, orang-orang bukan Islam juga akan terbuka mata, bahawa mereka menyembah tuhan yang sekunder, sedangkan Tuhan yang Utama dan berhak disembah kerana Tuhan Utama lah yang menciptakan sekalian alam, berkuasa penuh, mentadbir dan memberi rezeki, sementara tuhan-tuhan (Ilah) yang lain tidak sedemikian!

AKHIRKATA

Sepakat umat Islam bahawa kita lemah untuk memahami konsep ketuhanan yang sebenar, seperti orang arab di zaman nabi. Hukum asal sudah tidak diketahui lagi.

Ini menunjukkan pentingnya umat Islam diajar dan memahami Tauhid dengan konsep Tauhid Tiga Serangkai, di mana Tauhid terbahagi kepada tiga:
1) Tauhid Rububiyah - Mengesakan Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memberi rezeki kepada sekalian alam semesta.
2) Tauhid Uluhiyah atau Ilahiyah - Mengesakan ibadat HANYA untuk Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memberi rezeki kepada sekalian alam semesta.
3) Tauhid Asma was-Sifat - Mengesakan Nama-Nama dan Sifat-sifat Ketuhanan yang sempurna, kamil dan mutlak HANYA untuk Tuhan yang mencipta, mentadbir dan memberi rezeki kepada sekalian semesta alam.

Alangkah peliknya ada yang mempertikaikan konsep Tauhid Tiga Serangkai ini yang amat diperlukan untuk menangani masalah yang kita hadapi di zaman ini. Tauhid Sifat 20, sudah tidak relevan kerana jelas umat Islam Malaysia yang dididik dengan Tauhid Sifat 20 adalah lemah untuk memahami hukum asal yang disebut di atas.

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment