Wednesday, February 15, 2012

Hadith tentang beralih tempat bila mengantuk Hari Jumaat


عَنْ ابْنِ عُمَرَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Daripada Ibn Umar (radhiyallahu 'anhuma) meriwayatkan daripada nabi (sallallahu 'alayhi wasallam) bahawa baginda bersabda:

"Apabila seseorang mengantuk pada hari Jumaat, hendaklah dia berpindah daripada tempatnya itu."

Darjat Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizhi dan katanya: "Hadith Hasan Sahih".

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Bayhaqi, Ahmad dan Abu Nu'aim.

Imam al-Bayhaqi (rahimahullah) mempertikaikan tentang kesahihannya sebagai sabda nabi kerana yang masyhur adalah ianya kata-kata Ibn Umar (ra). Namun begitu, Imam al-Albani (rahimahullah) menyatakan bahawa periwayatan hadith ini mengandungi tadlis oleh Ibn Ishaq namun ianya mempunyai isnad lain dan juga hadith shahid (sokongan) kebenaran hadith di atas sebagai sabda nabi (sallallahu 'alayhi wasallam). Lihat perbahasannya di dalam kitabnya Silsilat al-Ahadith al-Sahihah (1/760).

Keterangan

Berkata al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Tuhfat al-Ahwazhi bisharh Jami' at-Tirmizhi:

"Dan hikmah perintah menukar (tempat) adalah pergerakan akan menghilangkan mengantuk. Kebarangkalian juga hikmahnya adalah berpindahnya dia daripada tempat di mana dia ditimpa kelalaian dengan tidurnya, walaupun tiada halangan baginya (untuk tetap di tempatnya). Sesungguhnya nabi (sallallahu 'alayhi wasallam) telah memerintah agar berpindah tempat dalam cerita tentang mereka tertidur sehingga terlepas solat Subuh di sebuah Wadi. Dan juga sesiapa yang menunggu solat maka dia dikira sebagai seorang yang sedang solat, dan mengantuk di dalam solat adalah daripada syaitan. Mungkin perintah baginda agar berubah tempat adalah untuk menghilangkan apa yang dinisbatkan sebagai daripada syaitan, berkaitan dengan kelalaian orang yang duduk di dalam masjid itu daripada berzikir atau mendengar khutbah ataupun apa sahaja yang bermanfaat di dalamnya."

Tuesday, February 14, 2012

Jawapan kepada komen tentang artikel "Q&A: Hukum Tazkirah sebelum Khutbah Jumaat"

Seperti yang dijanjikan, ini adalah jawapan kepada komen Anonymous (tarikh: 26hb Januari 2012) kepada artikel asal saya yang bertajuk: "Q&A: Hukum Tazkirah sebelum Khutbah Jumaat":

Anonymous bertanya: “Apakah membiarkan mereka berborak adalah lebih baik? Maka masa digunakan agar ‘mereka2’ yang berborak itu dapat mendengarnya.”

Jawapan:

Artikel berkenaan memuatkan hadith berikut:

Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Tidaklah mandi seorang lelaki pada hari Jumaat, dan membersihkan dirinya, dan meminyakkan rambutnya atau menggunakan minyak wangi rumahnya, kemudian keluar (ke masjid) tidak membahagikan antara dua orang kemudian solat apa yang ditaqdirkan baginya kemudian diam ketika imam berkhutbah kecuali diampunkan baginya antara hari itu dan Jumaat yang berikutnya.”

Mari kita renungi beberapa perkara di bawah:

  1. Bukankah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah adalah golongan umat Islam yang berpegang kuat kepada Sunnah nabi?
  2. Hadith di atas, adakah ianya menerangkan satu Sunnah nabi atau tidak? Bagaimana lagi kita hendak mengenali Sunnah nabi sekiranya hadith seperti ini tidak dikira menetapkan suatu Sunnah.
  3. Saya rasa lebih wajar kita cuba memikirkan bagaimana hendak mendidik masyarakat agar beramal dengan Sunnah nabi ini, dan Sunnah-Sunnah lain yang berkaitan dengan hari Jumaat. Sekiranya mereka jahil tentangnya, maka kita didik.
  4. Apakah mendidik masyarakat untuk beramal dengan “Sunnah nabi sebelum khutbah Jumaat” suatu amalan sia-sia sehinggakan kita tutup ruang itu dengan tazkirah?
  5. Saya rasa “mereka2” yang berborak itu tetap akan berborak sekiranya ada tazkirah ataupun tidak ada tazkirah. Tazkirah hanya “background music” bagi mereka. Malah, mereka tidak berhenti berborak ketika khutbah juga!
  6. Setiap manusia mempunyai “jangkamasa tumpuan” yang tidak lama. Daripada pengalaman, ceramah yang terlalu panjang akan menyebabkan para pendengar hilang tumpuan di tengah-tengah atau penghujung ceramah, malah mungkin tertidur. Elokkah kita meneruskan tazkirah yang akan menyebabkan jemaah hilang tumpuan ketika khutbah Jumaat yang merupakan satu kewajipan menurut Mazhab Hanbali dan Maliki? Walaupun menurut mazhab Shafie dan Hanafi, mendengar khutbah adalah sunat, yang mana satu yang lebih utama dan lebih wajar dijaga, tazkirah sebelum khutbah atau khutbah Jumaat?
  7. Sekiranya tazkirah sebelum khutbah Jumaat adalah sesuatu yang dikira baik, mengapakah nabi Muhammad tidak menanjurkan tazkirah sebelum khutbah Jumaat, kerana situasi dan keperluan umat sama sahaja, dahulu dan sekarang! Cuba kita bandingkan:
    • Bukankah nabi galakkan agar datang ke masjid awal pada hari Jumaat? Kenapa nabi tidak mengambil “kesempatan” dan menggunakan alasan “apakah membiar mereka berborak lebih baik”?
    • Malah nabi telah melarang mereka daripada duduk-duduk dalam bulatan untuk berborak-borak sebelum khutbah seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Daud dan Tirmizhi? Memang ada beza pendapat antara ulama tentang maksud hadith ini, samada haram atau makruh, dan termasuk majlis ilmu atau tidak, tetapi sekiranya kita lihat hadith ini, tidak diperincikan maksud nabi, maka lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga, dan tinggalkan sahaja, khuatir akan termasuk dalam larangan nabi.
    • Dan nabi juga memberikan jalan penyelesaian untuk para jemaah yang mengantuk ketika mendengar khutbah, dengan saranan baginda: “Apabila seseorang mengantuk pada hari Jumaat, hendaklah dia tukar daripada tempatnya ke tempat lain.” [Sahih –Tirmizhi Ahmad dan lain-lain] Mengapa pula nabi tidak terfikir untuk menambah tazkirah sebelum khutbah agar mereka yang mengantuk ketika khutbah dapat mendengar tazkirah sebelum khutbah, sekurang-kurangnya?

Cukuplah beberapa persoalan ini untuk kita mengambil iktibar.

Anonymous menyambung: “Tidaklah salah memberi tazkirah kerana majlis ilmu itu mendapat keberkatan di dalamnya.”

Jawapan: Sebenarnya artikel saya mengandungi jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan. Yang saya katakan adalah kesesuaian tazkirah sebelum khutbah, dan bukan maksud saya tazkirah itu sendiri sebagai tidak bermanfaat atau sebagainya. Seperti saya sebutkan, memang ada beza pendapat antara ulama, maka yang dilakukan dalam artikel saya hanya mengemukakan pendapat beberapa ulama, bukan pendapat saya. Walaubagaimanapun, semua ulama setuju sekiranya ada perkara berbangkit, dan perlu disampaikan sebelum khutbah Jumaat, maka ini harus. Situasi lain pula, jika ada sebahagian jemaah yang duduk terlalu jauh sehingga tidak dapat mendengar khutbah, maka boleh duduk bersama dan adakan majlis ilmu yang tidak mengganggu jemaah lain. Tetapi, persoalannya, tazkirah yang dilakukan setiap Jumaat, dengan pembesar suara, kepada semua jemaah, sebelum khutbah Jumaat. Bagaimana?

Saya tertarik dengan kata-kata Imam Jalaluddin as-Suyuti (849-911H), seorang ulama yang masyhur dalam mazhab Shafie. Selepas beliau memberi takrif bid’ah, beliau menyebut:

“Jumhur golongan Salaf benci kepada itu (bid’ah) dan lari daripada setiap perkara yang baru (dalam agama), walaupun ianya harus, untuk memelihara asal (agama) iaitu al-Ittiba’ (mengikut sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam).”

[al-Amr bil-ittiba’ wan-nahyu ‘anil-ibtida’ (Perintah agar mengikut Sunnah dan larangan membuat bid’ah), karangan Imam as-Suyuti ms. 81]]

Mengapakah kita lebih suka menokok tambah amalan yang sudah ada jalan caranya daripada nabi?

Anonymous menyambung: “Perkara ini telah selesai beratus tahun dahulu padamana aliran bermazhab. Mengapa perlu ditimbulkan lagi?.”

Jawapan: Dimanakah letaknya kata ulama muktabar yang mengatakan semua perkara fiqh sudah selesai dan tidak perlu diperpanjangkan atau ditimbulkan lagi? Malah kita lihat ulama muktabar dahulu sehingga kini masih lagi menulis, membincang dan berhujah melalui kuliah-kuliah dan karangan kitab-kitab Fiqh, bermula dengan Kitab Taharah (bersuci), Solat, Zakat, dan seterusnya. Mengapakah Imam an-Nawawi menulis kitab Fiqhnya al-Majmu’, kadang-kadang menjelaskan perbezaan pendapatnya daripada Imam mazhabnya sendiri, iaitu Imam Syafie? Betulkah sudah selesai dengan adanya mazhab-mazhab, menurut dakwaan Anonymous ini?

Sekiranya dakwaan ini benar, maka sia-sialah berbagai kajian agama di pusat pengajian tinggi yang ada sekarang ini!

Dan jika kita lihat hakikat amalan umat Islam sekarang, sudah banyak berlakunya mencampur-campurkan antara mazhab. Oleh itu, benarkah “perkara ini telah selesai beratus tahun dahulu”? Contohnya, umat Islam di Malaysia mengeluarkan zakat fitrah (membayar wang) menurut mazhab Hanafi dan bukan mazhab Shafie! Sekiranya “perkara ini telah selesai beratus tahun dahulu” kenapa tidak kita terus berpegang dengan mazhab Shafie dalam masalah zakat fitrah? Malah ulama Shafie yang muktabar, seperti Imam Nawawi menegaskan bahawa zakat fitrah tidak boleh dibayar dengan nilai dalam matawang. Imam Nawawi tidak tahu ke “perkara ini telah selesai beratus tahun dahulu”?

Dan secara khusus tentang persoalan kita ini, seperti saya katakan di atas, ada perbezaan pendapat di antara ulama, dan saya kemukakan alasan-alasan serta dalil-dalil untuk mengatakan bahawa majlis ilmu atau tazkirah sebelum khutbah Jumaat adalah tidak sesuai.

Saya sudahi dengan kata-kata ini:

Andaikata kita terima kata-kata: “perkara ini telah selesai beratus tahun dahulu” sebagai satu kebenaran, maka kita boleh katakan bahawa perkara ini telah selesai di zaman nabi lagi, selepas turunnya ayat:

"Hari ini Aku telah melengkapkan untuk kamu agamamu, dan telah menyempurnakan bagimu nikmat daripadaKu, dan Aku telah redha Islam sebagai agamamu." [al-Ma'idah : 3]

Sudah lengkap dan sempurna, mengapa ditokok tambah, dan diubah sesuatu yang lengkap dan sempurna?

Pertimbangkanlah dengan sebaik-baiknya.