Wednesday, February 15, 2012

Hadith tentang beralih tempat bila mengantuk Hari Jumaat


عَنْ ابْنِ عُمَرَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Daripada Ibn Umar (radhiyallahu 'anhuma) meriwayatkan daripada nabi (sallallahu 'alayhi wasallam) bahawa baginda bersabda:

"Apabila seseorang mengantuk pada hari Jumaat, hendaklah dia berpindah daripada tempatnya itu."

Darjat Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizhi dan katanya: "Hadith Hasan Sahih".

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Bayhaqi, Ahmad dan Abu Nu'aim.

Imam al-Bayhaqi (rahimahullah) mempertikaikan tentang kesahihannya sebagai sabda nabi kerana yang masyhur adalah ianya kata-kata Ibn Umar (ra). Namun begitu, Imam al-Albani (rahimahullah) menyatakan bahawa periwayatan hadith ini mengandungi tadlis oleh Ibn Ishaq namun ianya mempunyai isnad lain dan juga hadith shahid (sokongan) kebenaran hadith di atas sebagai sabda nabi (sallallahu 'alayhi wasallam). Lihat perbahasannya di dalam kitabnya Silsilat al-Ahadith al-Sahihah (1/760).

Keterangan

Berkata al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Tuhfat al-Ahwazhi bisharh Jami' at-Tirmizhi:

"Dan hikmah perintah menukar (tempat) adalah pergerakan akan menghilangkan mengantuk. Kebarangkalian juga hikmahnya adalah berpindahnya dia daripada tempat di mana dia ditimpa kelalaian dengan tidurnya, walaupun tiada halangan baginya (untuk tetap di tempatnya). Sesungguhnya nabi (sallallahu 'alayhi wasallam) telah memerintah agar berpindah tempat dalam cerita tentang mereka tertidur sehingga terlepas solat Subuh di sebuah Wadi. Dan juga sesiapa yang menunggu solat maka dia dikira sebagai seorang yang sedang solat, dan mengantuk di dalam solat adalah daripada syaitan. Mungkin perintah baginda agar berubah tempat adalah untuk menghilangkan apa yang dinisbatkan sebagai daripada syaitan, berkaitan dengan kelalaian orang yang duduk di dalam masjid itu daripada berzikir atau mendengar khutbah ataupun apa sahaja yang bermanfaat di dalamnya."

4 comments:

  1. Nice Post Gan ..
    I Hope that'a Continously ..

    Visit my blog to

    Kandang Anime | http://opeall.blogspot.com/

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam..
      bagaimana pandangan ustaz tentang biografi ibn ishak..
      adakah dia seorang yg diterima hadithnya walaupun terkenal dalam periwayatan sejarah..?

      Delete
  2. Maaf, lambat jawab pertanyaan ini. Secara ringkasnya, kita lihat di kalangan ulama ada yang kritik dan ada yang menta'dil (menyatakan kejujuran atau lebih). Guru saya, Shaikh Ayman, pernah mengkritik Maulana Asri Yusuf tentang kritikan maulana terhadap Ibnu Ishaq. Kitab Maulana Asri Yusuf tentang Ibnu Ishaq memuatkan banyak kata-kata ulama tentang Ibnu Ishaq, cumanya kesimpulan Maulana itu mungkin boleh disimpulkan sebaliknya oleh ulama lain. Walaubagaimanapun, saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat Ibn Ishaq perlu diteliti setiap periwayatannya mengikut kaedah-kaedah ilmu hadith, kerana ada kalanya diterima dan ada kalanya tidak. Allahu a'lam.

    ReplyDelete