Hadith Encyclopedia



بحث عن

Friday, July 1, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (8)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah ayat:

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
“Yang menguasai di Hari Pembalasan.”
[al-Fatihah : 4]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ayat ke 3 adalah seperti berikut:

“Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas.”

Pujian untuk Allah di atas daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 3 diteruskan dengan ayat seterusnya iaitu nama Allah yang memberikan gambaran kekuasaannya yang mutlak di Hari Akhirat, hari di mana semua makhluk diberikan pembalasan setimpal dengan kebaikan dan keburukan yang diamal.

Untuk pengetahuan, ayat ke 4 boleh dibaca dengan dua cara:
1. مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ yang bermaksud: “Yang menguasai di Hari Pembalasan.”
2. مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ yang bermaksud: “Raja di Hari Pembalasan.”

Kedua-dua cara bacaan memberikan maksud yang lebih kurang sama iaitu kekuasaan mutlak di Akhirat adalah milik Allah!

Sekiranya kita tadabbur makna ayat ini menjadikan kita gerun dan takut kepada Allah! Sekiranya di dunia, kita takut dan gerun berjumpa seorang raja sesuatu Negara, apatah lagi dengan Raja yang berkuasa mutlak di dunia dan Akhirat!

Namun begitu, lihatlah bahawa Allah telah mendahulukan ayat yang menggerunkan ini dengan ayat tentang keluasan RahmatNya.

Bayangkan kita lihat seorang raja yang sangat kuat, perkasa, digeruni semua orang di dalam dan di luar Negara, dan apabila kita berjum dengannya, dia layan dengan sebaik-baiknya, seolah-olah kita inilah yang raja, diberikan berbagai-bagai pemberian dan sebagainya, sedangkan kita hanya datang melawat dan meraikannya. Tidakkah keadaan seperti itu menghasilkan rasa kasih, sayang serta kagum dengan pendirian seorang raja yang begitu berkuasa, tetapi menghormati orang lain dengan layanan yang tiada tandingannya.

Allah lebih patut kita rasa kasih, sayang dan kagum, kerana betapa banyak kita bersalah kepadaNya, mengingkari perintahNya, tidak bersyukur dengan pemberianNya, namun Allah tetap memberi, tetap membiarkan kita menikmati segala yang Dia ciptakan untuk kita nikmati di atas dunia ini. Kita mungkin diuji, tetapi tidak pernah ditarik semua perkara yang kita nikmati!

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (2) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (3) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan.”

1 comment: