Tuesday, January 18, 2011

JALAN PINTAS KE SYURGA

Dengan matlamat kita yang sama, iaitu untuk ke Syurga yang Allah telah sediakan untuk orang-orang yang beriman, kita sentiasa mencari jalan untuk memudahkan kita, ertikata lain, mencari JALAN PINTAS KE SYURGA. 

Wujudkah JALAN PINTAS KE SYURGA? 

 Allah memberitahu kita melalui Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) tentang semua perkara di dalam agama dan hal dunia, termasuk kejadian-kejadian di akhir zaman, apakah Allah tidak memberitahu kita jalan pintas ke SyurgaNya?? 

Jawabnya: Memang ada! 

 Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud (ra): 
Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) pernah menggariskan satu garis (di atas tanah) dengan tangan beliau seraya berkata: “Ini jalan Allah yang lurus”. Kemudian beliau (صلى الله عليه وسلم) menggariskan garis-garis di kanan dan kiri garis tadi dan berkata: “Ini jalan-jalan lain, tidak ada satu jalan pun di sana, kecuali ada syaitan yang mengajak kepadanya”. Kemudian beliau (صلى الله عليه وسلم) membaca ayat: “Dan inilah jalanKu maka ikutilah ia dan jangan ikut jalan-jalan yang akan memisahkan kamu dari jalanNya. [6:153]” 
(HR. Imam Ahmad, Nasa’i, Ibnu Abi Hatim dan Hakim dan beliau menshahihkannya) 

Jelas di sini nabi menerangkan jalan pintas, yang terpendek ke syurga, iaitu jalan lurus yang menghubungkan kita dengan syurga! Jalan yang lain membawa kita jauh daripada jalan yang lurus, sesat sehingga ke Neraka, na’uzubillah. 

Tetapi, apakah jalan pintas itu? 

Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam): “Umat ini akan terbahagi kepada 73 bahagian, kesemuanya di dalam Neraka,kecuali satu!” Sahabat bertanya: “Siapa mereka, wahai Rasulullah?” “Mereka yang berada di atas (jalan) sepertimana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.” 
[Sahih – Abu Daud, Tirmizhi dan lain-lain] 

Ini menerangkan pentingnya mengikut Islam menurut kefahaman yang sebenar dan betul, iaitu kefahaman para sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) yang dididik sendiri oleh Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) dengan petunjuk daripada Allah. 

Ini adalah satu kaedah penting untuk mengenal sesuatu ajaran Islam adalah betul atau salah. Iaitu, pentingnya manhaj (metodologi) yang betul dalam memahami Islam. 

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: An-Nubuwwah (kenabian) berada bersamamu selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya. Kemudian kamu berada di zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (metod kenabian). Dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia akan mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya. Kemudian kamu melalui zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya. Kemudian kamu menghadapi zaman Malikan Jabriyah (raja diktator), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya. Kemudian kamu melalui zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwah, kemudian baginda diam.” 
[Riwayat Ahmad 4/275, Abu Daud 4/211, At- Tirmizi 4/503 – Hadith Sahih] 

Kegemilangan Islam tidak akan kembali KECUALI dengan kembali mengikuti MANHAJ KENABIAN, iaitu Islam yang difahami dengan betul. 

Siapa di antara kita yang diluluskan oleh Allah dan RasulNya sebagai mukmin sejati, yang memahami Islam dengan sempurna, menurut MANHAJ KENABIAN? 

Jawabnya: Sahabat-sahabat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). 

Apakah ia manhaj kenabian? 

Memahami Islam melalui sumbernya yang betul menurut prioriti yang betul, dengan merujuk kepada kefahaman yang betul. 

Sumbernya: 
1) Al-Quran 
2) As-Sunnah (Sahih) 
3) Ijma’ 
4) Kias 

Menurut kefahaman tiga generasi terbaik – as Salaf as Soleh (Generasi as-Salaf as-Soleh adalah tiga generasi terawal Islam, diketuai oleh para sahabat Rasulullah, kemudian dua generasi selepasnya yang dipuji oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik manusia, selepas para nabi) 

Setelah asas ini betul, maka akan betullah kesemuanya di dalam Islam seseorang itu, bermula daripada Aqidah, Niat, Sikap , Amalan, Prioriti, dan lain-lainnya. 

 Dengan manhaj yang betul: 
1. Kita akan mempunyai Aqidah yang betul dan diredhai Allah kerana aqidahnya akan berlandaskan al-Quran dan Sunnah, menurut kefahaman golongan Salaf as-Soleh 
2. Kita akan mempunyai niat yang betul dalam kesemua amalan kita 
3. Kita akan berakhlak dengan baik kerana keutamaan adalah mencontohi akhlak Rasulullah. 
4. Kita akan beramal dengan amalan soleh yang diiktiraf semua sebagai amalan baik kerana amalannya akan berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Ini adalah kerana setiap amalan dianggap soleh dan diterima setelah memenuhi dua syarat: (1) Ikhlas (2) Menurut Sunnah Rasulullah. 
5. Kita akan bersikap positif dan betul dalam menghadapi semua perkara dan urusan, kerana tawakkal penuh kepada Allah, dan mengikut saranan al-Quran dan Sunnah 
6. Kita akan melakukan semua perkara menurut prioritinya, keutamaannya kerana Allah menuntut tanggungjawab menurut prioriti, seperti di dalam al-Quran dan Sunnah, 

Maka, dengan manhaj yang betul, ianya akan menggolongkan kita di dalam Ahlus-Sunnah wal-Jamaah, Golongan yang Terselamat di antara 73 golongan umat Islam. 

 Itulah jalan pintas, dengan usaha yang sama mendapat pahala yang berganda-ganda lebih daripada sesiapa yang tidak mengikut manhaj yang betul. Itulah jalan pintas di dunia, supaya kita dapat melalui jalan pintas di Akhirat pula, yang penuh dengan liku-likunya yang mengerikan. 

Kita berdoa kepada Allah, setelah usaha yang sewajarnya, agar dikurniakan jalan pintas di Akhirat, iaitu dimasukkan ke Syurga TANPA HISAB.


2 comments:

  1. salam akh..
    nk tny..
    artikel yg mnarik akh..tp de kmusykilan r..
    btul ke dgn manhaj salaf ni kite xperlu dihisab di hdpn Allah 'Azza Wa Jalla nnt..
    bleh brikn dalil2 yg sahih x akh..

    جزاك الله خيرا

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikum salam,
    Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan lebih-lebih lagi dengan soalan di atas. Untuk jawapan di atas secara terperinci, sila baca artikel yang akan datang.

    بارك الله فيك

    ReplyDelete