Monday, December 20, 2010

Tasfiyah dan Tarbiyah

Tasfiyah : Membersihkan ilmu daripada sumber yang batil atau yang tidak diterima oleh Islam
Tarbiyah : Mendidik umat Islam dengan ilmu yang telah dibersihkan

Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam):
“Umat ini akan terbahagi kepada 73 bahagian, kesemuanya di dalam Neraka,kecuali satu!”
Sahabat bertanya: “Siapa mereka, wahai Rasulullah?”
“Mereka yang berada di atas (jalan) sepertimana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.”
[Sahih – Abu Daud, Tirmizhi dan lain-lain]

Para ulama mengatakan bahawa hadith ini dan seumpamanya adalah tentang umat Islam akan terbahagi kepada 73, dan hanya satu yang selamat di Akhirat. Kata seorang ulama mazhab Shafi’e, Muhammad ash-Sharbini al-Khatib (m. 977H), di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Alfazh al-Minhaj (karangan Imam an-Nawawi (m. 676H)):
فَجَعَلَ الْكُلَّ مِنْ أُمَّتِهِ – “Maka (nabi) menjadikan semua golongan ini daripada umatnya(Islam).”

Hadith ini jelas memberi amaran kepada kita bahawa kita mesti pastikan kefahaman Islam kita adalah kefahaman yang betul. Sepertimana sesuatu gossip boleh merebak dari mulut ke mulut dan berubah wajah sehingga akhirnya terlalu banyak tokok tambahnya daripada keadaan asal, begitu jugalah Islam menghadapi perubahan yang sama sejak zaman Rasulullah sehingga sekarang.

Yang selamat, hanyalah mereka yang kembali memahami Islam menurut golongan terawal di dalam Islam, yang dididik sendiri oleh Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), tidak lain dan tidak bukan, sahabat-sahabat Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam).

Dan kegemilangan Islam tidak akan kembali, sekiranya kita tidak kembali kepada Islam tulen ini.

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata:
“Kami sedang duduk-duduk di masjid bersama Rasulullah s.a.w., dan Basyir adalah seorang pendiam. Maka datang Abu Tha’labah al-Khasynee lalu berkata: “Wahai Basyir bin Sa’ad, adakah engkau menghafaz hadith Rasulullah s.a.w. tentang al-Umara’ (kepimpinan)?” Lalu Hudzaifah berkata: “Aku menghafaz khutbah baginda.” Lantas Abu Tha’labah duduk. Hudzaifah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
An-Nubuwwah (kenabian) berada bersamamu selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu berada di zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (metod kenabian). Dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia akan mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu menghadapi zaman Malikan Jabriyah (raja diktator), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwah, kemudian baginda diam.”
[Riwayat Ahmad 4/275, Abu Daud 4/211, At-Tirmizi 4/503 – Hadith Sahih]

Lima zaman disebutkan di dalam hadith ini:
1. Zaman kenabian – daripada Adam hinggalah kepada Rasulullah (‘alayhimus-salatu was-salam)
2. Zaman Khilafah di atas manhaj (metod) an-Nubuwwah (kenabian) – Zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, bermula dengan Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali (radiyallahu ‘anhum)
3. Zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit)
4. Zaman Malikan Jabriyah (raja dictator)
5. Zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah – Zaman munculnya Imam Mahdi dan Nabi Isa (‘alayhi as-Salam)

Selepas itu nabi diam..... Kiamat!

Lihatlah, bahawa zaman (1), (2) dan (5) memberi gambaran zaman Islam menurut kefahaman yang betul, dan amalan yang betul, dari segenap segi, termasuk Aqidah, ibadat, muamalat, dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment