Oleh - Nawawi Subandi
[Dari Sinar Harian (30/10/2010)]
Sedar atau tidak apabila kita berjalan dan singgah di restoran-restoran atau kedai-kedai tertentu, akan melihat beberapa bentuk mushaf (lembaran) atau gambar-gambar ayat-ayat suci al-Quran digantung dengan pelbagai bentuk dan corak. Biasanya ia digantung pada dinding, sama ada bersebelahan atau di belakang kaunter bayaran. Amalan ini begitu popular di kebanyakan premis-premis perniagaan orang Melayu dan restoran-restoran mamak negara kita.
Ayat-ayat al-Quran yang menjadi pilihan seperti Surah ath-Thalaq dari ayat dua hingga ayat tiga, atau lebih dikenali “ayat seribu dinar”. Wallahualam, tidak diketahui dari mana nama tersebut diambil. Ada juga beberapa ayat al-Quran lain digunakan dari Surah al-Fatihah dan ayat al-Kursi. Tujuan menggantung ayat-ayat ini menurut mereka, antaranya bagi meraih hasil perniagaan yang baik (sebagai pelaris dan mengelakkan kerugian), sebagai penolak bala, dan juga perhiasan.
Terlebih dahulu, kita perlu faham al-Quran sebuah kitab diturunkan dengan penuh barakah dan petunjuk bagi mereka yang membaca, mempelajari, memahami, dan mengamalkannya. Allah SWT berfirman (maksudnya): “Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah (kebaikan) supaya mereka memerhatikan (mentadabbur) ayat-ayatnya agar mendapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Shaad, 38: 29)
Pada ayat yang lain, Allah menyatakan al-Quran itu sebagai huda (petunjuk), al-furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira), rahmat, dan juga sebagai syifa (penyembuh bagi penyakit hati). (Rujuk: Syaikh Manna’ al-Qaththan, Mabaahis fii ‘Ulumul Qur’an, m/s. 17-21). Bukannya sebagai penangkal dan pelaris, mahupun sebagai barang-barang perhiasan.
Menjadikan ayat-ayat al-Quran sebagai penangkal, pelaris, dan perhiasan adalah di antara contoh salah faham terhadap al-Quran oleh sebahagian masyarakat Islam hari ini. Dalam masa sama, ia juga turut menyalahi tujuan asal al-Quran diturunkan.
Sekiranya perbuatan tersebut adalah suatu yang haq (benar), maka kita perlulah mengemukakan contoh (bukti penjelasan) daripada Rasulullah SAW dan para sahabat Nabi yang melakukan amalan-amalan seperti itu. Malah sekiranya kita meneliti dengan baik ayat-ayat al-Quran yang digunakan tersebut seperti contohnya “ayat seribu dinar” dipetik dari surah ath-Thalaq, maka kita akan mendapati maksudnya sebagaimana berikut:
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya dan Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)
Ayat ini menyentuh dan menekankan persoalan taqwa, yang dengan ketaqwaan tersebut Allah berjanji akan mengadakan jalan keluar (dari kesusahan), memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, serta mencukupkan segala keperluan seseorang hamba. Adapun yang dimaksudkan dengan taqwa tersebut adalah sentiasa berusaha menjaga diri dari kemurkaan dan kemarahan Allah SWT, iaitu dengan melaksanakan segala apa diperintahkan dan menjauhi apa jua larangan dalam agama dengan bersungguh-sungguh.
Syaikh Dr Nashir Abdurrahman al-Judai hafizahullah berkata: “Sebilangan besar ulama generasi awal Islam, ketika memperkatakan adab-adab yang khusus terhadap al-Quran, mereka menetapkan secara mutlak dibencinya menulis al-Quran di dinding-dinding, di dalam masjid, dan selainnya, atau pada pakaian dan seumpamanya. Mereka tidak mengecualikan tulisan yang tujuannya mencari keberkatan.
Dengan ini, menulis ayat-ayat al-Quran di dinding-dinding dan seumpamanya atau menulisnya di atas lembaran, papan, medium tertentu, dan seumpamanya, kemudian menggantungkannya dengan tujuan mencari atau mengambil berkat kebaikan atau dengan harapan dapat menolak bahaya, maka perkara ini adalah tidak disyariatkan. Bahkan ia termasuk perkara yang diada-adakan (membuat bidaah) dan bertentangan dengan petunjuk Rasulullah SAW, para sahabat, para imam salaf (ulama generasi awal) yang diredhai.” (Syaikh Dr. Nashir B ‘Abdurrahman al-Judai’, at-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu, m/s. 239, Maktabah ar-Rosyad (Riyadh, 1411H))
Manakala berkenaan ayat al-Kursi, disebutkan pula melalui hadis-hadis yang sahih, bahawa sesiapa mengamalkan membacanya pada awal pagi atau awal malam, maka ia akan dilindungi daripada gangguan syaitan. Hadis ayat al-Kursi tersebut sama sekali tidak menyebutkan supaya kita menggantungkannya di dinding-dinding sebagai perhiasan mahupun sebagai tangkal, tetapi adalah dengan membacanya, memahaminya dan mengamalkannya.
Bahkan lebih bahaya, perbuatan menggantung ayat-ayat al-Quran tertentu ini sebenarnya boleh menjerumuskan pelakunya kepada syirik. Ini boleh berlaku sekiranya si pelaku berkeyakinan (mempercayai) bahawa dengan cara menggantung atau meletakkan ayat-ayat al-Quran, mampu mendatangkan barakah (kebaikan), dapat menolak bala atau sial, mendatangkan rezeki, memberi keuntungan dan seumpamanya. Sedangkan tiada dalil sama ada dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang mendukung perbuatan seperti itu.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ruqyah (bacaan mantera), tamimah (tangkal atau azimat – pent.), dan tiwalah (sihir pengasih) adalah syirik.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no. 3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’ aib al-Arnauth). Dari itu adalah lebih baik perbuatan tersebut ditinggalkan melainkan padanya didukung oleh dalil yang jelas daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Perlu kita ketahui bahawa ayat-ayat al-Quran bukanlah barang-barang perhiasan. Perbuatan menggantung pada dinding-dinding atau cermin-cermin kenderaan tertentu dengan tujuan perhiasan adalah termasuk perbuatan merendah-rendahkan al-Quran. Ini semua perlu dikembalikan kepada tujuan asal penurunan al-Quran. Adakah menjadikannya sebagai barang perhiasan termasuk di antara tujuannya? Pernahkah ia dicontohkan oleh Nabi SAW dan para ulama generasi awal di tiga kurun yang utama? Atau ia termasuk perkara baru yang diada-adakan dalam agama? Justeru, sama-samalah kita menilainya berpandukan ilmu di atas sumber yang benar.
Kesimpulannya:
1 – Ambillah ayat-ayat al-Quran dengan cara yang betul, iaitu dengan bimbingan ilmu, membaca, berusaha memahami dan mempelajarinya (mentadabbur), sekali gus mengamalkannya.
2 – Apa disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri menyuruh kita bertakwa yang dengannya Allah akan mengeluarkan dari kesusahan, memberi rezeki dari jalan tidak disangka-sangka, dan mencukupkan keperluannya. Bukan menggantungkan, sama ada di dinding-dinding sambil mengharap sesuatu.
3 – Ayat-ayat al-Quran bukan bahan untuk dijadikan tangkal dan alat pelaris. Perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk dalam perkara syirik dan berdosa besar.
4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan ialah dengan cara bertakwa dan berdoa kepada Allah SWT - Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. Sentiasa berinisiatif meningkatkan daya usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran perniagaan yang betul. Wallahualam.
*Dari meja Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU)

No comments:
Post a Comment