Sunday, December 2, 2012

Syaikh Albani - Pandangan Terhadap Kebangkitan Palestin (mari memahaminya)




Ikhwah sekalian, baarakallahu feekum! Dalam isu umat Islam yang besar seperti ini, hendaklah kita kembali kepada Kibar al-Ulama. Merekalah yang mempunyai ilmu BESERTA pengalaman dan hikmah yang cukup untuk menjawab fatwa2 tentang isu seperti Jihad di Palestin. Di antara kibar al-Ulama (ulama2 besar) yang memberi fatwa tentang ini adalah Imam al-Albani (rahimahullah). Maka adalah wajar bagi kita orang awam untuk kembali kepada fatwa Kibar al-Ulama, dan bukan menjawab dan memberi fatwa daripada kecetekan ilmu dan ketiadaan hikmah yang diperlukan untuk memberi fatwa, malah komen sewenang-wenangnya fatwa kibar al-Ulama, samada setuju ataupun tidak setuju. Kita orang2 awam diwajibkan bertanya orang2 berilmu.

Firman Allah: “Maka tanyalah orang2 yang berilmu kalau kamu tak tahu.” [an-Nahl : 43]

Untuk memahami fatwa Imam al-Albani dalam isu ini, ana mahu ajak semua berfikir. Jangan berfikir dengan emosi, tetapi fikirlah seperti seorang General Perang yang bertaqwa.

Ya, itulah tugas yang disandang oleh Rasulullah (Sallallahu ‘alayhi wasallam) ketika baginda menghadapi tentangan Musyrikin Mekah.

Soalan yang patut ditanya sebelum memulakan jihad melawan Musyrikin di Mekah, ataupun melawan Yahudi di bumi Palestin adalah:

Bagaimanakah cara terbaik untuk menumpaskan mereka?

Adakah dengan cara tinggal terus di Mekah (atau bumi Palestin) lalu berjihad menentang mereka secara terus, tetapi secara rawak dan tidak tersusun?

Adakah dengan cara keluar daripada Mekah (atau bumi Palestin) untuk mencari tempat di mana umat Islam boleh membina kekuatan mereka dalam segala aspek?

Adakah kekuatan untuk menumpaskan musuh hanya dengan semangat berjihad semata-mata?

Kekuatan menumpaskan musuh bergantung kepada banyak factor, termasuk:
1. Kekuatan Iman – kerana kekuatan Iman adalah hasil daripada kekuatan keyakinan terhadap Allah dan Hari Akhirat. Tentera yang penuh keyakinan apada Allah tidak akan gementar, tidak akan lari dari medan peperangan, kerana mereka yakin kepada Allah dan pertolonganNya.
2. Kekuatan bilangan tentera
3. Kekuatan tubuh badan setiap askar
4. Kekuatan kelengkapan perang
5. Kekuatan strategi perang
6. Pertolongan Allah – Inilah yang paling utama. Firman Allah: “Sekiranya kamu membantu Allah, nescaya Allah akan bantu kamu.” [Muhammad : 7] Shaikh as-Sa’di dalam tafsirnya: “Ini adalah perintah daripada Allah kepada orang2 yang beriman, bahawa mereka membantu Allah dengan menegakkan agamaNya, berdakwah kepadaNya, berjihad melawan musuh2Nya, dengan niat ikhlas kerana Allah. Sekiranya mereka melakukan itu, Allah akan membantu mereka dan meneguhkan kedudukan mereka.”

Sekiranya umat Islam, yang terdiri daripada orang2 fasik (yang melakukan banyak maksiat, tidak solat, ber”kiblat”kan Barat dan sebagainya)  melawan orang2 kafir yang juga fasik, maka menang kalah adalah bergantung kepada semua perkara di atas, kecuali Pertolongan Allah yang sempurna. Tidak syak lagi akan ada sedikit sebanyak pertolongan daripada Allah, namun bukan pertolongan sempurna yang membawa kepada kemenangan mutlak umat Islam ke atas rejim Zionis.

Di manakah kekuatan orang2 Palestin untuk melawan tentera2 Zionis sekiranya tiada pertolongan Allah yang sempurna?

Oleh itu, fikirlah isu ini seperti seorang General yang bertaqwa. Setelah memahami fatwa ini dengan sikap yang betul, maka soalan seterusnya boleh ditanya:

Adakah fatwa Imam al-Albani adalah fatwa seorang alim yang jahil dan alpa tentang keadaan umat Islam?

Atau ianya merupakan fatwa yang penuh ilmu, hikmah dan penuh kasih sayang terhadap umat Islam?

Namun, sekiranya ditanya samada orang2 yang mati melawan zionis adakah syahid atau tidak? Itu bukan urusan kita, tetapi urusan Allah.

Allahu a'lam

Monday, October 8, 2012

Imam Malik tentang Bid'ah Ihram


Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Imam Malik bin Anas, Imam Dar al-Hijrah (Madinah) lalu bertanya kepadanya satu soalan yang cantik. Dia bertanya: “Wahai Imam, di manakah patut saya berihram untuk melakukan ibadat Haji?"

Imam Malik menjawab: “Berihramlah di Zhul-Hulayfah” (maksudnya, salah satu daripada miqat di mana nabi berihram, dan Zhul-Hulayfah adalah miqat untuk penduduk2 Madinah yang dikenali sekarang dengan nama Aabar ‘Ali)

Lelaki itu menjawab: “Tidak, saya tidak akan berihram dari sana! Adakah saya hendak tinggalkan masjid nabawi yang mulia ini? Adakah saya hendak tinggalkan nabi di dalam kuburnya yang mulia ini dan berihram di Zhul-Hulayfah. Tidak! Saya akan berihram di sini berihram daripada masjid di sisi kubur yang mulia ini!”

Dengarlah apa jawapan Imam Malik!

Kata Imam Malik: “Jangan lakukan kerana saya takut kamu akan ditimpa fitnah!”

Jawab lelaki itu: “Apakah fitnah yang akan menimpa, wahai Imam, ia hanyalah beberapa batu (perjalanan) yang saya tambah.”

 Dengarlah jawapan Imam Malik: “Apa fitnah yang lebih besar daripada seseorang yang berpendapat dia telah mencapai satu fadhilat yang tidak didahului oleh Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam).”

Inilah bahaya bid’ah!

Kemudian Imam Malik menggunakan dalil Quran yang merupakan dalil paling kuat menurut ilmunya, lalu berkata kepadanya: “Sesungguhnya, saya dengar ayat Allah berfirman: Maka hendaklah orang yang menyalahi perintahi perintah rasul takut akan ditimpa fitnah atau azab yang pedih.” [an-Nur : 63]
[Kisah ini terdapat di dalam kitab al-I'tisam oleh Imam asy-Syatibi, Kitab Hilyatul-Awliyaa oleh Abu Nuaim, dan lain-lain]

Friday, September 14, 2012

Adakah belajar bersanad menjamin kefahaman yang betul?

Kita beriman sebagai Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah bahawa isnad adalah penting dalam agama. Seperti kata Abdullah b. al-Mubarak: “Isnad adalah sebahagian daripada agama. Kalau tidak kerana isnad sudah tentu sesiapa boleh berkata apa sahaja yang dia mahu.”  [Muqaddimah Sahih Muslim]

Persoalannya: Isnad ini penting untuk tujuan apa?

Tujuan ilmu isnad atau ilmu riwayat adalah untuk mengenalpasti atau membezakan riwayat sahih dan riwayat lemah dan palsu. Ertikata lain, ianya diperlukan untuk mengetahui kesahihan kata-kata individu di pangkal isnad, bukannya tentang kesahihan kefahaman individu di hujung isnad. Contohnya: sesuatu hadith adalah suatu khabar atau riwayat yang mengandungi isnad daripada perawi yang mula2, iaitu seorang sahabat yang meriwayatkan hadith daripada Rasulullah di pangkal riwayat. Maka tujuan isnad adalah untuk mengetahui kesahihan hadith itu, samada Rasulullah benar-benar berkata demikian. Namun, isnad tidak menjamin kesahihan kefahaman perawi terakhir dalam isnad, kerana kemungkinan dia meriwayatkan sesuatu dengan jujur tetapi tidak memahaminya.

Apakah dalilnya?
1. Sabda nabi: “Hendaklah yang menyaksikan menyampaikan kepada orang yang tidak hadir. Kemungkinan orang yang menerima (khabar) lebih memahami daripada orang yang mendengar.” [Timizhi, Ibn Majah dan lain] Dalam riwayat lain pula: “Kemungkinan orang yang membawa Fiqh (hadith) akan menyampaikan kepada orang yang lebih memahami.”

2. Dengan melihat hakikat semasa, kita akan dapati isnad bukan jaminan kefahaman yang betul, mahupun kefahaman yang sama tentang agama. Contohnya: di India dan Pakistan ada dua aliran besar umat Islam, iaitu Deobandi dan Ahli Hadith, yang mana shaikh2 yang ada semuanya mempunyai isnad masing2 kepada Rasulullah, dan semuanya melalui Shah Waliyullah ad-Dehlawi. Kita dapati kedua-dua aliran ini banyak perbezaannya dari segi kefahaman walaupun isnad masing2 bertemu pada Shah Waliyullah ad-Dehlawi sebelum ianya bersambung sehingga ke Rasulullah. Bagaimana dua aliran berbeza keluar daripada sumber isnad yang sama? Ini belum mengambil kira aliran2 lain lagi di dunia Islam yang banyak mendakwa mempunyai isnad masing2. Inilah maksud ana versi Islam berlainan walaupun ada isnad.

Oleh itu, isnad tidak sama sekali memberi jaminan kefahaman individu2 di hujung isnad adalah benar.

Apakah rujukan sebenarnya, agar umat Islam dapat merujuk kefahaman yang betul?

Rujukan sebenar adalah seperti berikut dengan dalilnya:
1. Quran dan Sunnah, dalilnya adalah Firman Allah: “Sekiranya kamu berselisih tentang sesuatu, maka rujuklah ia kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah).” [an-Nisaa: 59]

2. Kefahaman sahabat2 nabi, dalilnya hadith nabi apabila ditanya siapakah golongan terselamat setelah umat berpecah kepada 73 aliran: “(Sesiapa yang berada) di atas jalanku dan sahabat2ku.” [Tirmizhi]

3. Kefahaman ulama2 terawal, dari kalangan salaf as-soleh kerana pujian nabi: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi yang selepasnya, kemudian generasi yang selepasnya.” [Bukhari dan Muslim] Ini adalah berkaitan dengan mengikut jalan atau kefahaman para sahabat juga.

Oleh itu, isnad tidak relevan dalam menentukan kesahihan kefahaman individu2 di hujung isnad, tetapi hanya untuk menentukan kesahihan kata2 individu di pangkal isnad. Kesahihan kefahaman pula, mestilah dirujuk kembali kepada kefahaman individu2 di pangkal isnad, iaitu kefahaman Rasulullah, sahabat2nya, dan generasi salaf as-Soleh, serta ulama2 khalaf yang mengikut jejak langkah dan kefahaman salaf as-soleh.