Kebetulan ana menerima video ini dua kali dalam masa terdekat ini melalui whatsapp. Sekali dikongsikan oleh emak mertua, dan sekali lagi dikongsikan oleh emak kandung sendiri.
Sila tonton video di atas, kemudian baca seterusnya jawapan ringkas daripada ana:
- Soalan yang dibaca menyebut tentang mazhab Shafie yang mengatakan ianya tidak syarie. Para pembaca akan dapati ustaz ini tidak menyanggah kebenaran soalan, tetapi terus memberi alasan beliau akan sebaliknya. Ternyata memang benar, mazhab Imam Shafie sendiri memang tidak membenarkan Tahlil dan Kenduri Arwah, seperti dinyatakan soalan. Sila rujuk mana-mana kitab Fiqh, termasuk kitab-kitab kuning yang dipelajari di pondok-pondok.
- Para pembaca juga akan dapati ustaz ini terus mengalih pandangan kepada "isi kandungan upacara majlis tahlil" yang mengandungi 5 perkara lalu memberi alasan bagi setiap perkara berasingan, untuk menunjukkan majlis tahlil dan kenduri arwah (secara keseluruhannya) adalah baik. Ini satu teknik yang cerdik, tetapi seorang yang berilmu akan dapat mengesan cara licik ini. Cuba tonton dan lihat, bahawa beliau tidak mengemukan dalil yang jelas langsung tentang Majlis Tahlil dan Kenduri Arwah, sebagai satu upacara yang disyariatkan, tetapi hanya alasan untuk komponen-komponen sahaja.
- Dengar betul-betul, bahawa ustaz ini ada menyebut sepotong hadis yang sebenarnya bercanggah dengan apa yang beliau ingin buktikan, iaitu hadis tentang kematian Jaafar bin Abi Talib. Namun malangnya, dia hanya menyebutkannya dalam bahasa arab, dan tidak diterjemahkan. Hadis itu berbunyi: اصنعوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم ما يشغلهم (Buatkanlah makanan untuk keluarga Ja'far kerana mereka telah ditimpa sesuatu yang menyibukkan mereka.)
Hadis itu adalah situasi yang kita bincangkan, iaitu apabila berlaku suatu kematian, apa yang perlu dilakukan? Pada kesempatan itu, nabi HANYA menyuruh para sahabat membantu memberi makanan kepada keluarga Jaafar.
Cuba fikirkan: Mengapa nabi tidak menyuruh mereka buat Majlis Tahlil dan Kenduri Arwah?
Itu sahaja memadai sebagai jawapan...
Sabda nabi: "Sesiapa yang melakukan amalan yang tidak kami perintahkan, maka ianya tertolak." [Sahih Muslim]
No comments:
Post a Comment