Wednesday, November 16, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (9)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah ayat:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

KepadaMu sahaja kami sembah, dan kepadaMu sahaja kami minta pertolongan.”

[al-Fatihah : 5]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ayat ke 4 adalah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan.”

Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4 diteruskan dengan ayat seterusnya iaitu mengesakan Allah sahaja TANPA SEKUTU dalam setiap ibadat.

Ayat ke 5 mengandungi mesej Tauhid yang sangat penting, malah mesej yang paling penting dalam setiap dakwah para nabi dan rasul. Mesejnya adalah:

  1. Sekiranya Allah berhak pujian-pujian seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat sebelum ini, maka sudah tentu Dia sahajalah yang berhak disembah!
  2. Sekiranya Allah sahaja yang berhak disembah, maka saya akan beribadat kepada Allah sahaja TANPA MENYEKUTUKAN apa-apa pun dalam ibadat, dan tiada objek lain yang saya akan sembah selain Allah!

Tauhid dalam semua ibadat adalah tuntutan yang paling penting dalam Islam, dan inilah juga yang ditunjukkan oleh ayat-ayat al-Quran lain, seperti:

Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain-Nya."” [al-A’raf: 59]

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain dari-Nya.” [al-A’raf: 65]

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Saleh. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain-Nya.” [al-A’raf :73]

Inilah yang disebutkan oleh ulama dengan nama Tauhid Ibadat atau Tauhid Uluhiyah.

Walaupun berdoa meminta pertolongan adalah sebahagian daripada amalan yang dinamakan ibadat, Allah mengkhususkan sebutan “meminta pertolongan” yang dikhususkan juga untuk Allah sebagai isyarat tentang pentingnya kita berdoa dan meminta pertolongan Allah agar kita dapat sentiasa berada dalam keadaan Tauhid yang sempurna dan tidak sekali-kali terjerumus dalam amalan syirik.

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya.

No comments:

Post a Comment