Sunday, November 22, 2020

Mahu pahala seperti ustaz atau ulama - tetapi tidak sanggup??

Sudah sedia maklum, sesiapa yang membantu seorang muslim dalam sesuatu amalan kebaikan, maka pembantu itu akan mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan itu. 

Oleh itu, seorang yang membiayai sara hidup  serta usaha seorang ustaz atau alim, atau lebih bagus lagi, membiayai pembelajaran seorang penuntut ilmu syariah Islam, akan mendapat pahala seperti seorang alim atau penuntut ilmu yang melalui semua cabaran menuntut ilmu, kemudiannya menjadi seorang alim yang mengajar masyarakat tentang agama Allah, dan beramal dengan ilmu yang diperolehinya, berdakwah ke Jalan Allah, sehinggalah alim itu wafat. Malahan, apa sahaja ilmu yang bermanfaat yang diajari oleh alim itu yang diamalkan oleh masyarakat, alim itu akan perolehi pahala seperti mereka yang beramal, dan pahala itu akan diperolehi juga orang yang membiayai sara hidup dan usaha seorang alim, atau membiayai pembelajaran alim itu ketika dia masih seorang penuntut ilmu.

Di antara dalil-dalil yang menunjukkan sedemikian adalah yang berikut:

Sabda nabi (SAW): 

 الدالُّ على الخيرِ كفاعلِه

"Yang menunjuk kepada kebaikan adalah sama seperti yang melaksanakan kebaikan itu." [ٌHasan Sahih - Sunan at-Tirmidhi]

Sabda nabi (SAW): 

من فطَّر صائمًا كان له مثلُ أجره، غير أنه لا ينقصُ من أجر الصائمِ شيئًا

"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang (berbuka) puasa, dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu." [ٌHasan Sahih - Sunan at-Tirmidhi]

Sabda nabi (SAW):

مَن جَهَّزَ غازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ فقَدْ غَزا، وَمَن خَلَفَ غازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ بخَيْرٍ فقَدْ غَزا

"Sesiapa yang mempersiapkan (bekalan dan kelengkapan) orang yang berperang di jalan Allah bererti dia telah (mendapat pahala) berperang. Dan sesiapa yang menanggung (urusan rumah) orang yang berperang di jalan Allah bererti dia telah (mendapat pahala) berperang." [ٌSahih al-Bukhari]

Demikian beberapa petunjuk daripada hadith Rasulullah (SAW) yang menjelaskan hal tersebut di atas, yang memberikan khabar gembira kepada seluruh umat Islam, bagi penuntut ilmu dan bagi yang mahukan pahala besar seperti seorang alim tetapi tidak mampu melaksanakannya.

Hakikatnya, mana-mana ahli ilmu yang menghabiskan masanya untuk belajar ilmu, mengulangkaji, membuat persiapan untuk kuliah, mengajar, berdakwah, dalam masa yang sama, ada aspek kehidupannya seperti orang lain, perlu makan dan minum, perlu kepada pakaian, perlu kepada kitab-kitab, perlu menyara hidup keluarganya, dan lain-lain. Bagaimanakah mereka dapat meneruskan perjuangan dan pengorbanan mereka dalam menunaikan tanggungjawab mereka kepada masyarakat sekiranya mereka mesti bekerja untuk menyara hidup, berceramah mengharapkan elaun-elaun daripada surau dan masjid, berniaga kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan harian mereka, dan seumpamanya.

Bantulah ahli ilmu, tajalah mereka dalam apa jua usaha mereka, agar dapat memudahkan urusan seharian mereka, membolehkan mereka fokus kepada aktiviti ilmu dan dakwah, dan dapat memberikan yang sebaiknya kepada masyarakat.

Rasulullah (SAW) pernah didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa bapanya meminta hartanya, lalu sabda nabi (SAW): 

أنتَ ومالُكَ لأبيكَ

"Engkau dan harta-mu adalah milik bapa-mu." [ٌSahih  - Sunan Ibn Majah]

Mungkin kita merasa sesuatu apabila membaca hadith ini, di mana nabi bersabda bahawa harta seorang anak adalah milik bapanya. Tetapi sekiranya kita memahami konsep yang disebutkan di atas, kita akan mudah memahami maksud nabi (SAW).

Kita semua telah membesar menjadi dewasa, selepas kurniaan Allah, adalah hasil usaha ibubapa yang telah membesarkan kita daripada bayi yang tidak mampu langsung menjaga diri, sehinggalah menjadi dewasa. Ertikata lain, kewujudan kita adalah disebabkan usaha ibubapa kita, sedikit ataupun banyak.

Begitu juga sekiranya difikirkan, seseorang itu menjadi seorang alim ulama yang berjasa dengan pembiayaan seorang penaja, maka wajarlah si penaja itu mendapat ganjaran pahala seperti pahala alim ulama itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikitpun.

Allahu a'lam.

Saturday, June 20, 2020

QnA: Pertanyaan tentang menjualbeli kucing




Hadis yang dimaksudkan adalah khabar yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya melalui jalan Abu z-Zubayr yang berkata: Aku telah bertanya Jaabir tentang harga anjing dan sannur (kucing). Jawabnya: "Nabi (saw) telah melarang (perbuatan) itu."
[Sahih Muslim no. 1569]

Kebelakangan ini, semakin berleluasa jualbeli kucing yang berbagai jenis baka, sekaligus menimbulkan persoalan ini di dalam masyarakat.

Tentang jualbeli kucing, ulama berbeza pendapat, di antara yang mengharuskan dan yang mengharamkan.

Pertama: Harus jualbeli kucing - pendapat 4 mazhab.
Kedua: Haram jualbeli kucing - pendapat Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Imam Ahmad (salah satu pendapat beliau) dan Ibn Hazm. Dalil mereka ialah hadis ini.

Bangkangan terhadap pendapat kedua
Hadis yang tersebut di atas telah ditolak oleh sebahagian ulama, dan sebahagian pula mempunyai takwil berlainan.

1. Menyatakan hadis ini da'ef - Imam Ahmad menyatakan hadis yang melarang jualbeli kucing adalah mudtarib, dan Ibn 'Abdil-Barr juga mengatakan "Tiada riwayat yang sahih tentang as-Sannur, maka hukumnya menurut asal, harus." Kelemahan adalah daripada sudut matan, dan juga sanad, samada hukum marfu' atau mauquf.
2. Mentakwil hadis - Seperti yang diterangkan oleh al-Khattabi dan lain-lain bahawa maksud hadis ini adalah kucing liar.
3. Meletakkan hukum Makruh - kerana perkataan (زجر) memberi bayangan larangan yang lebih ringan, iaitu makruf.

Termasuk juga hujjah yang membangkang bahawa kucing adalah haiwan yang suci, boleh dipelihara, boleh diambil manfaat seperti memburu tikus, maka haiwan seperti ini wajar ianya harus dijualbeli, selagi tiada dalil jelas kuat menunjukkan haram.

Bangkangan terhadap pendapat pertama
Hadis ini sahih kerana ia terdapat di dalam kitab Sahih Muslim.

Kesimpulan.

Apa yang jelas adalah perbezaan pendapat dalam persoalan ini memang wujud di kalangan ulama. Ikutilah kecendurangan masing-masing. Tidak wajar dijadikan ia sebagai alasan untuk bertegang leher. Hormat menghormati pendapat yang berbeza.


QnA: Kaffarah Jimak di waktu siang bulan Ramadan - Dijawab oleh Shaikh Muhammad Saleh al-Munajjid




Sekiranya puasa kaffarah (60hari berturut-turut) tidak dapat dilakukan kerana suatu keuzuran yang dibenarkan syara', seperti sakit, haid, dan sebagainya, maka menurut pendapat yang lebih kuat, puasa kaffarah yang berbaki mestilah diteruskan selepas hari yang berlaku uzur itu.

Contohnya pada hari ke 15 berpuasa kaffarah, orang itu tidak dapat berpuasa kerana sakit, maka hendaklah dia meneruskan puasa hari ke 15 selepas pulih daripada sakit, sehinggalah lengkap 60 hari berturut-turut.

Allahu a'lam.