Sudah sedia maklum, sesiapa yang membantu seorang muslim dalam sesuatu amalan kebaikan, maka pembantu itu akan mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan itu.
Oleh itu, seorang yang membiayai sara hidup serta usaha seorang ustaz atau alim, atau lebih bagus lagi, membiayai pembelajaran seorang penuntut ilmu syariah Islam, akan mendapat pahala seperti seorang alim atau penuntut ilmu yang melalui semua cabaran menuntut ilmu, kemudiannya menjadi seorang alim yang mengajar masyarakat tentang agama Allah, dan beramal dengan ilmu yang diperolehinya, berdakwah ke Jalan Allah, sehinggalah alim itu wafat. Malahan, apa sahaja ilmu yang bermanfaat yang diajari oleh alim itu yang diamalkan oleh masyarakat, alim itu akan perolehi pahala seperti mereka yang beramal, dan pahala itu akan diperolehi juga orang yang membiayai sara hidup dan usaha seorang alim, atau membiayai pembelajaran alim itu ketika dia masih seorang penuntut ilmu.
Di antara dalil-dalil yang menunjukkan sedemikian adalah yang berikut:
Sabda nabi (SAW):
الدالُّ على الخيرِ كفاعلِه
"Yang menunjuk kepada kebaikan adalah sama seperti yang melaksanakan kebaikan itu." [ٌHasan Sahih - Sunan at-Tirmidhi]
Sabda nabi (SAW):
من فطَّر صائمًا كان له مثلُ أجره، غير أنه لا ينقصُ من أجر الصائمِ شيئًا
"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang (berbuka) puasa, dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu." [ٌHasan Sahih - Sunan at-Tirmidhi]
Sabda nabi (SAW):
مَن جَهَّزَ غازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ فقَدْ غَزا، وَمَن خَلَفَ غازِيًا في سَبيلِ اللَّهِ بخَيْرٍ فقَدْ غَزا
"Sesiapa yang mempersiapkan (bekalan dan kelengkapan) orang yang berperang di jalan Allah bererti dia telah (mendapat pahala) berperang. Dan sesiapa yang menanggung (urusan rumah) orang yang berperang di jalan Allah bererti dia telah (mendapat pahala) berperang." [ٌSahih al-Bukhari]
Demikian beberapa petunjuk daripada hadith Rasulullah (SAW) yang menjelaskan hal tersebut di atas, yang memberikan khabar gembira kepada seluruh umat Islam, bagi penuntut ilmu dan bagi yang mahukan pahala besar seperti seorang alim tetapi tidak mampu melaksanakannya.
Hakikatnya, mana-mana ahli ilmu yang menghabiskan masanya untuk belajar ilmu, mengulangkaji, membuat persiapan untuk kuliah, mengajar, berdakwah, dalam masa yang sama, ada aspek kehidupannya seperti orang lain, perlu makan dan minum, perlu kepada pakaian, perlu kepada kitab-kitab, perlu menyara hidup keluarganya, dan lain-lain. Bagaimanakah mereka dapat meneruskan perjuangan dan pengorbanan mereka dalam menunaikan tanggungjawab mereka kepada masyarakat sekiranya mereka mesti bekerja untuk menyara hidup, berceramah mengharapkan elaun-elaun daripada surau dan masjid, berniaga kecil-kecilan untuk memenuhi keperluan harian mereka, dan seumpamanya.
Bantulah ahli ilmu, tajalah mereka dalam apa jua usaha mereka, agar dapat memudahkan urusan seharian mereka, membolehkan mereka fokus kepada aktiviti ilmu dan dakwah, dan dapat memberikan yang sebaiknya kepada masyarakat.
Rasulullah (SAW) pernah didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa bapanya meminta hartanya, lalu sabda nabi (SAW):
أنتَ ومالُكَ لأبيكَ
"Engkau dan harta-mu adalah milik bapa-mu." [ٌSahih - Sunan Ibn Majah]
Mungkin kita merasa sesuatu apabila membaca hadith ini, di mana nabi bersabda bahawa harta seorang anak adalah milik bapanya. Tetapi sekiranya kita memahami konsep yang disebutkan di atas, kita akan mudah memahami maksud nabi (SAW).
Kita semua telah membesar menjadi dewasa, selepas kurniaan Allah, adalah hasil usaha ibubapa yang telah membesarkan kita daripada bayi yang tidak mampu langsung menjaga diri, sehinggalah menjadi dewasa. Ertikata lain, kewujudan kita adalah disebabkan usaha ibubapa kita, sedikit ataupun banyak.
Begitu juga sekiranya difikirkan, seseorang itu menjadi seorang alim ulama yang berjasa dengan pembiayaan seorang penaja, maka wajarlah si penaja itu mendapat ganjaran pahala seperti pahala alim ulama itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikitpun.
Allahu a'lam.