Saturday, August 6, 2011

Pertanyaan tentang Sanad hadith

Pada 6hb Ogos, 2011 saya menerima soalan berikut pada ruang komen artikel saya yang berjudul: “Hadith tentang suara kuat malam Jumaat pertengahan Ramadan".

Soalannya:

Anonymous said...
salam'alaik . boleh saya tahu tentang sanad sahih muslim yg merah merah tu ? dalam hadis yang anda beri tiada sanad dari sahabat jadi boleh saya tahu siapa sahabatnya ? sekadar bertanya

Untuk pengetahuan dan manfaat semua, saya akan sertakan di bawah sanad hadith-hadith di dalam artikel tersebut.

Hadith Pertama:

Sabda Rasulullah (Sallallahu ‘alayhi wasallam):


مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ
“Sesiapa yang menceritakan hadith yang dilihat sebagai dusta, maka dia termasuk salah satu di antara dua orang yang berdusta.”
[Sahih Muslim]

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya, dengan tiga isnad yang muttasil (bersambung) melalui 2 orang sahabat nabi, iaitu Samurah bin Jundab (ra) dan al-Mughirah bin Syu’bah (ra). Isnadnya seperti berikut:

1. Abu Bakr bin Abi Shaybah Waki’  al-Hakam  Abdur-Rahman bin Abi Layla  Samurah bin Jundab

2. Abu Bakr bin Abi Shaybah  Waki’  Syu’bah  Habib  Maymun bin Abi Shabib  al-Mughirah bin Syu’bah

3. Abu Bakr bin Abi Shaybah  Waki’  Sufyan  Habib  Maymun bin Abi Shabib  al-Mughirah bin Syu’bah

Perihal para Perawi

1. Abu Bakr bin Abi Shaybah – Seorang Imam, memiliki kitab-kitab besar seperti al-Musnad, al-Musannaf dan Tafsir. Beliau adalah perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibn Majah. Berasal daripada Kufah. Meninggal pada tahun 235H. Kata Ibn Hajr tentangnya: Thiqah (Dipercayai), Hafiz, Pengarang kitab-kitab.

2. Waki’ bin al-Jarrah – Dilahirkan di Asbahan, tabi’ tabi’in. Beliau adalah perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal daripada Kufah. Meninggal pada tahun 196H atau 197H. Kata Ibn Hajr tentangnya: Thiqah , Hafiz, ‘Abid (banyak beribadat).

3. Sufyan ath-Thawri – Dilahirkan pada tahun 97H, tabi’ tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal dari Kufah. Meninggal pada tahun 161H. Kata Ibn Hajr: Thiqah, Hafiz, Faqih, ‘Abid, Imam, Hujjah, kadang-kadang melakukan tadlis.

4. Syu’bah bin al-Hajjaj - Di kalangan tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Meninggal pada tahun 160H. Kata Ibn Hajr: Thiqah, Hafiz, Mutqin (mahir), Sufyan ath-Thawri biasa mengatakan tentangnya: Amir al-Mu’minin dalam bidang hadith.

5. Al-Hakam bin ‘Utaybah al-Kindi – Di kalangan tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal dari Kufah. Meninggal pada tahun 113H atau selepasnya. Kata Ibn Hajr: Thiqah, Thabt (jitu), Faqih, kecuali kadang-kadang melakukan tadlis.

6. Abdur-Rahman bin Abi Layla – Di kalangan Tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal dari Madinah, kemudian berpindah ke Kufah. Meninggal pada tahun 83H atau selepasnya. Kata Ibn Hajr: Thiqah, Thabt (jitu), Faqih, kecuali kadang-kadang melakukan tadlis.

7. Habib bin Abi Thabit – Di kalangan tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal dari Kufah. Meninggal pada tahun 119H. Kata Ibn Hajr: Thiqah, Faqih, Jalil (terhormat), sering melakukan irsal dan tadlis.

8. Maymun bin Abi Shabib - Di kalangan tabi’in. Beliau juga perawi al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad), Muslim (Muqaddimah Sahih), Abu Daud, Tirmizhi, an-Nasa’i dan Ibn Majah. Berasal dari Kufah. Meninggal pada tahun 83H. Kata Ibn Hajr: Jujur, sering melakukan irsal.

9. Samurah bin Jundab – Sahabat. Meninggal pada tahun 58H.

10. Al-Mughirah bin Syu’bah – Sahabat. Meninggal pada tahun 50H.

Hadith Kedua pula:

Sabda Rasulullah (Sallallahu ‘alayhi wasallam):

مَن كَذَب عليّ مُتعمِّدًا فليتبوَّأْ مَقْعَدَهُ من النار
“Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di Neraka.”
[Sahih Muslim]

Hadith ini adalah hadith mutawatir, yang mempunyai terlalu banyak isnadnya. Saya akan menyebut satu sahaja isnadnya, iaitu:

Muhammad bin ‘Ubayd al-Ghubari  Abu ‘Awanah  Abu Husain  Abu Soleh  Abu Hurairah

Perihal para Perawi

1. Muhammad bin ‘ubayd al-Ghubari – thiqah (m. 238H)

2. Abu ‘Awanah, al-Waddah bin Abdullah al-Wasiti – thiqah, thabt (m. 175H / 176H)

3. Abu Husain, ‘Uthman bin ‘Asim – thiqah, thabt, sunni, kadang2 melakukan tadlis (m. 127H)

4. Abu Soleh, Zhakwan – thiqah, thabt (m. 101H)

5. Abu Hurairah – sahabat (m. 59H)

Demikian sahaja secara ringkas mengenai hadith yang dipersoalkan. Sekiranya ulama hadith dapat mengeluarkan maklumat lebih daripada yang sebutkan di atas, tidak dapat tidak kita akan yakin dengan ilmu hadith yang tiada tolok bandingnya di dunia ini, dan peranannya dalam menjaga dan memelihara kemurnian dan ketulenan sumber-sumber Islam, lebih khususnya dalam periwayatan hadith.