Monday, June 28, 2010

40 ulama muda sertai UMNO - nasihat saya

40 ulama muda sertai UMNO. Pelbagai reaksi telah muncul berkenaan dengan penyertaan mereka ini. Ada yang menyokong, ada yang menentang, ada yang duduk di atas pagar.

Saya sendiri tidak berapa setuju dengan penyertaan mereka. Namun, apakah yang patut saya lakukan? Suarakan pendapat saya dengan hujah-hujahnya kepada semua orang untuk dibaca? Untuk apa? Nasihat? Apakah akibatnya?

Walau apapun pendapat serta hujah yang boleh dikemukakan, saya nasihat kepada semua agar tidak menjadikan perkara ini sebab perpecahan yang lebih teruk bagi umat Islam secara umumnya, dan ahli agama, secara khususnya.

Janganlah bantu Iblis dan Syaitan!

Janganlah kerana kita tidak setuju dengan penyertaan ini, kita cuba sedaya upaya untuk menggagalkan usaha mereka yang telah menyertai UMNO dengan tujuan untuk meluaskan medan dakwah!

Janganlah kita tonjolkan sikap tidak tolak ansur, lebih-lebih lagi, terhadap golongan ahli agama yang mengorak langkah untuk manfaat dakwah di Malaysia secara keseluruhan, dan bukan manfaat individu!

Bantulah mereka dengan tidak menyuarakan pendapat dan hujah kepada orang awam kerana mereka tidak dapat menilai pendapat dan hujah-hujah ini, dan lebih teruk lagi, mereka tidak tahu adab Islam dalam berbeza pendapat! Akibatnya telalu buruk, justeru melemahkan umat Islam sendiri, secara umum dan khusus!

Sekiranya tidak setuju, doakanlah bagi mereka lebih-lebih lagi di hadapan orang awam!

Lebih baik daripada menyuarakan pendapat dengan berhujah pro dan kontra, adalah nasihat-menasihati antara satu sama lain. Mereka bukannya masuk UMNO untuk memerintah, bukan untuk mengutamakan demokrasi berbanding sistem pemerintahan Islam, bukan untuk kepentingan politik dan sebagainya! Mereka bertujuan untuk tolong-menolong dengan kerajaan dalam usaha dakwah kepada Islam dan usaha mengembangkan ilmu Islam!

Barangkali kesan dakwah dan nasihat kepada kerajaan dari dalam parti adalah lebih berkesan daripada nasihat seseorang dari luar parti!

Tiada sesiapapun yang dapat mengatakan dengan pasti, tetapi janganlah perbuatan kita menjadi pemangkin kepada kegagalan usaha dakwah mereka!

Mereka perlukan nasihat, maka mereka perlu didampingi dan dibantu walaupun tidak dipersetujui! Kerana usaha mereka tidak senang! Usaha mereka akan berdepan berbagai fitnah dan cubaan! Maka janganlah renggangkan hubungan, malah eratkan lagi agar nasihat akan lebih berkesan!

Mereka memerlukan teguran dan peringatan daripada semua agar tidak lari daripada landasan asal, iaitu tujuan asal mereka menyertai UMNO!

Semoga Allah memberikan kekuatan bagi ulama-ulama muda ini untuk memperjuangkan dakwah Islam, bekerjasama dalam perkara yang makruf dan melarang yang mungkar, dan membuka medan dakwah seluas-luasnya bagi semua yang berhak berdakwah!

Wednesday, June 23, 2010

Fitnah semata-mata...



Itu semua memang fitnah semata-mata. Perancangan yang disebutkan memang tidak wujud. Saya memang tahu pendapat ustaz Azzahari dan Shaikh Ayman tentang terorisme! Mereka memang menentang terorisme habis-habisan! Kerana mereka yang percaya terorisme ini bertitiktolak daripada Akidah yang salah, yang berbau khawarij!

Akidah Khawarij bagaimana? Mereka meninggalkan ulama dan mengikut pendapat mereka sendiri walaupun mereka jahil. Mereka ambil ayat-ayat al-Quran yang keras, dan aplikasikan ayat-ayat itu kepada orang-orang Islam. Akibatnya, mereka mengkafirkan pemimpin-pemimpin Islam yang tidak memerintah dengan undang-undang Islam, dan melabelkan Negara-negara ini Negara kufur. Akhirnya semua yang bekerja dengan kerajaan-kerajaan seperti ini, daripada tentera dan polisnya hinggalah kepada pekerja sektor awam, dan sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka, semuanya dianggap kafir. Dengan kekufuran mereka semua ini, maka halallah darah mereka, halallah mengebom dalam negara-negara ini, walaupun terkena orang-orang awam, kerana mereka semua kafir!

Oleh kerana mereka tidak mengendahkan nasihat para ulama, maka mereka melakukan sesuka hati mereka atas nama jihad! Membunuh orang-orang kafir yang masuk ke Negara-negara Islam dengan aman dan bukan berperang mahupun rakyat mereka di Negara mereka sendiri, atas alasan orang-orang barat semuanya memerangi Islam, maka halal darah mereka, dalam apa keadaan pun. Maka mereka pun mengebom hotel-hotel mewah di mana ramai rakyat-rakyat pelancong daripada Barat, dan sebagainya.

Islam jenis yang dihuraikan di atas, memang ditentang habis-habisan Ustaz Azzahari dan Shaikh Ayman. Malah itu bukanlah Islam kerana Islam tidak ajar sedemikian!

Mereka juga dituduh pernah hadir kem mujahidin dan menerima latihan jihad. Allahu a'lam, mungkin mereka pernah berlatih di kem mujahidin di Pakistan atau Afghanistan untuk berlatih sebagai mujahidin. Tetapi itu tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka adalah pengganas! Kerana mereka ikut latihan mujahidin sebagai menyahut anjuran nabi agar belajar memanah, menunggang dan lain-lain, iaitu ilmu peperangan! Ini untuk persiapan menghadapi kemungkinan diserang musuh, dan termasuk dalam ayat al-Quran: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [al-Anfal:60]

Seperti juga di PLKN di mana anak-anak muda dilatih selama 3 bulan, ataupun latihan Tentera Simpanan, dan sebagainya seperti yang ada di banyak negara seperti Turki, Malaysia dan juga Singapura!! Mungkin mereka hanya pergi untuk berlatih selama 2 MINGGU!! Apa sangat lah boleh dipelajari dalam masa 2 minggu sedangkan latihan ketenteraan di PLKN, tentera simpanan dan sebagainya memakan masa jauh lebih daripada itu!

[Modul Fizikal (PLKN) adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan. ]

Dan tanpa mindset khawarij, latihan 20 tahun pun tidak akan menjadikan sesorang itu pengganas, sedangkan tanpa latihan ketenteraanpun seseorang yang bermindset khawarij akan menjadi pengganas! Itulah hakikatnya!

Masalahnya, sumber perisikan ini boleh dipertikaikan, dan disebut bahawa ianya daripada perisikan Amerika Syarikat! Mereka memanglah akan buat tuduhan seperti ini kerana mereka ditentang oleh para mujahidin di Afghanistan dan Pakistan. Amerika Syarikat, yang dibawah telunjuk Yahudi, akan berusaha menghindarkan umat Islam daripada mempersiapkan diri untuk jihad yang akan berlaku seperti yang disebut oleh nabi Muhammad (sallallahu ‘alayhi wasallam) sendiri tentang akhir zaman! Bila? Tiada siapa yang tahu, tetapi nampaknya orang kafir lebih percaya dengan hadith akhir zaman daripada orang Islam sendiri sehinggakan mereka sudah mengambil langkah-langkah pencegahan, sedangkan orang-orang Islam masih tidur di tilam Dreamland!

Lihatlah betapa beraninya Israel sekarang, dan berapa lemahnya umat Islam, sehinggakan kezaliman ke atas umat Islam berlaku, kita hanya mampu mengutuk. Mereka mengetuk, kita mengutuk! Mereka suruh, kita serah!
Fikirkanlah!... Polis mendakwa bahawa "rangkaian" ini sudah masuk ke dalam universiti-universiti tempat dan membuat rayuan kepada penuntut-penuntut universiti agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya dipelawa untuk mengikut rangkaian JI itu. Kita tahu keprihatinan rakyat Malaysia dalam hal ini. Sekiranya polis perlu merayu, ini seolah-olah memang tiada langsung aduan setakat ini daripada universiti-universiti tempatan. Ini menunjukkan bahawa perkara ini tidak wujud! Allahu a'lam.
Mungkin mereka mengaitkan aduan tentang Wahabi dengan isu pengganas. Ini tiada kena mengena langsung! Seperti saya sebutkan, golongan yang mengganas adalah mereka yang berfikiran atau mempunyai mindset Khawarij. Khawarij adalah golongan yang sering memberontak atau cenderung untuk memberontak melawan kerajaan atas dasar yang dihuraikan di atas! Maka, selidik dahulu sebelum bertindak! Benarkah tertuduh itu mempunyai mindset Khawarij? Lihat kepada kecendurangannya, fokusnya, tindak tanduknya! Saya tidak perlulah mengajar teknik penyiasatan di sini. Yang pentingnya, siasat sebelum bertindak!
Dan yang paling wajar disiasat adalah dakwaan Wahabi adalah pengganas (teroris), tidak dapat tidak! Kononnya, Wahabi adalah fahaman ekstrem, maka digelar wahabi teroris! Sekiranya kenyataan ini benar, maka seluruh Perlis mesti dimasukkan ISA kerana mereka Wahabi dan mereka pengganas (menurut formula di atas)! Orang Saudi tidak boleh melancong di Malaysia kerana mereka Wahabi dan pengganas! Dan menurut formula ini juga, Dr Wahbah az-Zuhaili dan Dr. Yusuf al-Qardhawi yang juga dikatakan Wahabi atau terpengaruh dengan Wahabi, maka mestilah dilucutkan daripada gelaran Tokoh Ma'ah Hijrah!
Subhanallah... Siasatlah maklumat yang diterima, dan siasat juga pemberi maklumat!
Hakikatnya, bukan Wahabi itu fahaman ekstrem. Tetapi mereka yang mempunyai mindset khawarij itulah yang berfahaman ekstrem! Dan mindset ini mungkin wujud di dalam mana-mana mazhab atau kumpulan!
Bukan tujuan saya di sini untuk menentang kerajaan, jauh sekali! Cuma untuk membersihkan nama baik mereka yang tertuduh dan membetulkan persepsi rakyat Malaysia dalam isu ini. Barangkali pihak kerajaan dan polis telah menerima maklumat yang salah maka perlulah dibetulkan.

Semoga Allah memberikan petunjuk kepada semua yang berhak menerimanya, dan melaknati semua yang berhak dilaknati!

Tuesday, June 22, 2010

Pendapat Shaikh Ayman tentang politik dan bahaya takfir

Sebagai sokongan kepada artikel saudara Mohd Masri, saya telah upload ke dalam blog ini petikan rakaman kelas Shaikh Ayman pada hari Ahad 6hb Disember 2009, di akhir kelas di mana beliau disoal tentang beberapa pengikut PAS yang mengkafirkan ahli UMNO.

[Lihat posting saya:
http://abukhadeejah.blogspot.com/2010/06/blog-post.html]

Saya tidak dapat menterjemahkan jawapannya yang agak panjang (23minit). Tetapi ringkasannya:

  • Perbuatan kafir-mengkafir ini adalah fasad (kerosakan)
  • Sepertimana mereka (sebahagian pengikut PAS) mengkafirkan ahli UMNO atas dasar "memerintah / menggunakan undang-undang yang tidak diwahyukan oleh Allah" (الحكم بغير ما أنزل الله), mereka juga boleh dikafirkan atas dasar yang sama kerana mereka memasuki sistem Demokrasi yang bukan cara Islam, dan bersekongkol dengan DAP yang memang bukan Islam!
  • Beliau pelik kenapa PAS tidak mahu bersatu dengan UMNO? Bukankah sama-sama orang Islam?!
  • Tinggalkanlah perbuatan kafir-mengkafir! Kita tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya! Ini boleh menimbulkan fasad dan berbagai masalah!
  • Kita sentiasa merujuk kepada para ulama dalam hal-hal ini.
  • Beliau menerangkan bahawa politik sekarang hanya menyebabkan lebih banyak perpecahan dalam umat, benci membenci antara satu sama lain, dan menyebabkan perasaan benci rakyat terhadap pemerintah.
  • Beliau menceritakan bahawa beliau pernah pergi ke Kuala Terengganu, dan pada hari Raya, beliau perasan dan pelik 2 masjid berdekatan mengadakan solat Hari Raya. Beliau bertanya: "Mengapa begini?" Beliau diberitahu satu masjid UMNO dan satu lagi masjid PAS! Kata beliau: "Aku minta perlindungan dengan Allah daripada ini! Mereka semua orang Islam! Lihat bagaimana mereka memecah belahkan umat Islam!" Lalu beliau tanya masjid yang mana asal dan lebih tua, lalu solat di masjid itu. Dan selepas itu jelas bahawa masjid yang lebih lama adalah masjid UMNO!
  • Ini dalil paling kuat tentang kerosakan yang ditimbulkan oleh parti-parti politik ini! Menyebabkan perpecahan, kebencian dan kesetiaan pada parti, dan bukan pada Islam! Kemudian ianya menanam kebencian antara rakyat dan pemerintah!
  • Jalan Islam cantik dan sempurna! Ianya sentiasa mencegah jalan provokasi, fitnah dan fasad! Pemerintah muslim wajib ditaati, kecuali dalam perkara maksiat. kerana hadith nabi: "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah." Beginilah kami beragama!
  • Kemudian, sekiranya kita lihat kemungkaran pada pemerintah, kita nasihat dengan cara Islam, dan bukan dengan cara barat!
  • Jangan pula sangka maksud kami bahawa kita tinggalkan sahaja pemerintah melakukan kemungkaran! Tidak! Tetapi nabi memberitahu kita: "Agama ini adalah nasihat! (Ikhlas) Kepada Allah, KitabNya, RasulNya, dan (menasihati) para pemetintah dan orang-orang awam." Inilah ajaran agama Islam! Iaitu nasihat!
  • Masalahnya sekarang pada cara memberi nasihat, dan mereka, yang sedihnya, telah mengikut barat dalam cara memberi nasihat dan mengkritik kepada pemerintah!
  • Islam menerangkan cara membuang air (kecil dan besar), sudah tentu perkara lebih penting seperti yang ada kena mengena dengan masyarakat! Maka ikut Islam dalam semua perkara, termasuk politik!
  • Kita mahukan Islah (pembaikan)! Bukan kerusi (Parlimen)!
  • Slogan kami: Hidayah untuk manusia sebelum memerintah manusia.
  • Tidak mungkin memerintah sebelum rakyat menerima hidayah. Bagaimana rakyat akan mentaati sekiranya tidak mengikut hidayah?!
  • Alangkah baik sekiranya mereka (parti-parti Islam) menggunakan tenaga mereka yang digunakan untuk politik itu disalurkan kepada usaha memberi petunjuk kepada manusia, sudah tentu banyak kebaikannya!
  • Mereka sibuk dengan perkara yang tidak bermanfaat dan meninggalkan perkara yang bermanfaat.

Itulah, lebih kurang, ringkasan jawapan Shaikh Ayman. Lihatlah jawapannya! Adakah ia berbunyi jawapan seorang pengganas?? Kuliah yang dirakamkan pada 6hb Disember 2009 itu diadakan di tempat yang sama di mana beliau dan 9 orang lain ditangkap di Sungai Chinchin pada 21hb Januari 2010. Dan beliau tidak perlu menyembunyikan apa-apa kerana kuliah itu hanya kepada kurang daripada 10 orang, dalam tempat yang tertutup. Dan kuliah hari Ahad itu, biasanya dihadiri oleh rakyat Malaysia. Itulah pendirian beliau sebenarnya! Jauh sekali daripada dakwaan bahawa dia merancang ataupun menggalakkan apa-apa serangan di Malaysia, mahupun luar negara!

Mereka yang menentang pemerintah, melakukan keganasan dan kerosakan seperti yang ditakuti kerajaan Malaysia dan lain-lain, sekiranya dilakukan oleh orang Islam, maka mereka ini hanya segelintir yang berbau khawarij! Mereka senang mengkafirkan orang-orang Islam, lebih-lebih lagi pemerintah Islam yang tidak memerintah dengan undang-undang syariah Islam. Mereka banyak memberi penekanan terhadap kerosakan para pemerintah, menyingkap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan, lalu mengkafirkan mereka! Mereka juga banyak memberi penekanan tentang jihad dengan jiwa. Paling ketara sekali, mereka tidak mengendahkan nasihat ulama-ulama Islam. Akibatnya, mereka melakukan keganasan seperti mengebom dan sebagainya.

Kadangkala, saya terfikir samada mereka yang cenderung kepada keganasan ini, adakah ketua-ketua mereka ini agen-agen negara Barat yang ingin melihatkan Islam berkubur dengan fitnah-fitnah seperti ini. Sesiapa sahaja yang berfikir secara objektif tentang laporan-laporan media barat akan dapat melihat kecenderungan mereka menyokong pemimpin-pemimpin mereka menuduh kejadian-kejadian keganasan sebagai perbuatan pengganas Islam!

Ini bukan hanya gerak hati saya, tetapi gerak hati rakyat di negara-negara Barat juga! Sehinggakan kejadian merempuh bangunan World Trade Center, New York, dikatakan adalah perbuatan dalaman dan diketahui lebih awal oleh kerajaan Amerika dan lain-lain. Ada pula rakyat negara Barat yang mengatakan bukan kapal terbang yang merempuh, tetapi peluru berpandu! Dan kedua-dua bangunan WTC itu beserta dengan beberapa lagi bangunan kecil bersebelahannya telah diruntuhkan oleh bom, iaitu dengan cara Controlled Demolition!

Walaubagaimanapun, Shaikh Ayman tidak langsung seperti yang dilaporkan dalam akhbar mahupun oleh polis Malaysia! Beliau menentang keganasan sekeras-kerasnya! Sekiranya ada di antara pelajar yang bertanyakan soalan tentang keganasan, takfir dan seumpamanya, beliau akan menolak dengan sekeras-kerasnya! Ini perkara yang sedia maklum di kalangan pelajar-pelajar yang lama telah mengikuti kuliah-kuliahnya. Beliau sentiasa menasihati pelajar-pelajar agar menimba ilmu yang bermanfaat, beramal, berdakwah, tetapi tidak pernah mengajar keganasan sama sekali! Kitab-kitab yang digunakan untuk mengajar:

  1. Kitab hadith Sahih al-Bukhari (bersama syarahnya, Fathul-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajr al-Asqalani) pada malam hari Khamis
  2. Adab al-Mufrad, kitab mengenai Adab dan Akhlaq seorang muslim karangan Imam al-Bukhari, yang diajar pada malam hari Isnin, di UIA!
  3. Kitab Mukhtasar al-I'tisam, karangan Alawi as-Saqqaf, tentang kaedah-kaedah memelihara kemurnian agama., yang diajar pada malam hari Selasa
  4. Kitab al-Tanbihat al-Mukhtasarah Syarh al-Wajibat al-Mutahattimat al-Ma'rifah 'ala kulli muslim wa muslimah, karangan Ibrahim al-Khuraisy, tentang asas-asas Tauhid dan Iman, yang diajar pada pagi hari Ahad.

Inilah kitab-kitab yang diajar! Fikirkanlah! Jadual kuliah-kuliah ini diwar-warkan juga di dalam internet, di beberapa website. Ini bermakna kuliah-kuliah beliau bukanlah perjumpaan rahsia, malah ianya terbuka dan boleh dihadiri sesiapapun jua. Saya tertanya-tanya mengapa serbuan dibuat sebelum disiasat? Polis hanya perlu menghantarkan SB yang boleh berbahasa arab untuk hadir dan dengar apa yang beliau ajar, kerana kuliahnya memang terbuka untuk sesiapa tanpa halangan langsung! Semua diterima masuk dan mendengar!

Sekiranya benar wujud pengganas di Malaysia, maka saya berani bersumpah, Shaikh Ayman, Ustaz Azzahari (yang hanya hadir kuliah Sahih al-Bukhari, itupun jarang-jarang sahaja!), Shaikh Luqman dari Nigeria (seorang yang cintakan Sunnah nabi, sehinggakan sanggup membuat Masters bidang hadith kali kedua, walaupun sedang membuat PhD bidang hadith juga!), Huzaifah, dan lain-lainnya, bukan dari kalangan pengganas-pengganas itu!

Dan rumah Shaikh Ayman bukanlah sarang pengganas! Telitilah kitab-kitabnya yang ada di maktabahnya! Itu bukan kitab-kitab mereka yang memberi penekanan ke arah keganasan! Malah yang ada, kitab yang mengutuk keganasan dan kefahaman seperti itu! Dan "senjata" yang ada mungkin pisau dapur, garpu, sudu, sofa, tilam, bantal dan rak-rak buku.

Semoga semua yang bersangkaan beliau seorang pengganas diberikan petunjuk dan dibukakan hati oleh Allah.