Wednesday, November 16, 2011

SIRI MEMAHAMI DAN TADABBUR AL-QURAN - Surah al-Fatihah (9)

Perbincangan kita kali ini tentang surah al-Fatihah ayat:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

“KepadaMu sahaja kami sembah, dan kepadaMu sahaja kami minta pertolongan.”

[al-Fatihah : 5]

Akhir perbincangan, kita telah menterjemahkan maksud ayat-ayat sehingga ayat ke 4 adalah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan.”

Setelah dilimpahkan Pujian untuk Allah daripada ayat 1 sehinggalah ayat ke 4 diteruskan dengan ayat seterusnya iaitu mengesakan Allah sahaja TANPA SEKUTU dalam setiap ibadat.

Ayat ke 5 mengandungi mesej Tauhid yang sangat penting, malah mesej yang paling penting dalam setiap dakwah para nabi dan rasul. Mesejnya adalah:

  1. Sekiranya Allah berhak pujian-pujian seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat sebelum ini, maka sudah tentu Dia sahajalah yang berhak disembah!
  2. Sekiranya Allah sahaja yang berhak disembah, maka saya akan beribadat kepada Allah sahaja TANPA MENYEKUTUKAN apa-apa pun dalam ibadat, dan tiada objek lain yang saya akan sembah selain Allah!

Tauhid dalam semua ibadat adalah tuntutan yang paling penting dalam Islam, dan inilah juga yang ditunjukkan oleh ayat-ayat al-Quran lain, seperti:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain-Nya."” [al-A’raf: 59]

“Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain dari-Nya.” [al-A’raf: 65]

“Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Saleh. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tiada objek sembahan bagimu selain-Nya.” [al-A’raf :73]

Inilah yang disebutkan oleh ulama dengan nama Tauhid Ibadat atau Tauhid Uluhiyah.

Walaupun berdoa meminta pertolongan adalah sebahagian daripada amalan yang dinamakan ibadat, Allah mengkhususkan sebutan “meminta pertolongan” yang dikhususkan juga untuk Allah sebagai isyarat tentang pentingnya kita berdoa dan meminta pertolongan Allah agar kita dapat sentiasa berada dalam keadaan Tauhid yang sempurna dan tidak sekali-kali terjerumus dalam amalan syirik.

Maka, terjemahan ayat kedua surah al-Fatihah boleh ditambah seperti berikut:

“(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang (2) Segala pujian Hanya untuk Allah, dan Dialah sahaja yang berhak menerimanya kerana Allahlah satu-satunya Pencipta, Pentadbir, Pemberi rezeki, Pemilik sekalian alam, dan tiada langsung satu makhluk pun mampu lakukan, walaupun sedikit, seperti Allah, (3) dan kerana Dialah yang bersifat dengan Rahmat yang tersangat luas, (4) dalam masa yang sama, Dialah Raja yang berkuasa mutlak, lebih-lebih lagi ketika zahir kuasa mutlakNya di Hari Pembalasan, (5) Oleh itu, Dia sahajalah yang kami sembah tanpa sekutu, dan Dia sahajalah yang kami minta pertolongan agar dijauhkan daripada syirik, dan sentiasa berada di atas Tauhid dan petunjukNya.”

Monday, October 31, 2011

Adab orang yang akan melakukan ibadat korban

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، رَضِيَ الله عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ". أخرجه مسلم (3/1565 ، رقم 1977) ، والنسائي (7/212 ، رقم 4364) وابن ماجه (2/1052 ، رقم 3149) . وأخرجه أيضًا : الشافعي (1/175) ، والحميدي (1/140 ، رقم 293) ، والدارمي (2/104 ، رقم 1948) ، وأبو عوانة (5/61 ، رقم 7787) ، والبيهقي (9/266 ، رقم 18820) .

Daripada Umm Salamah (radiyallahu ‘anha), isteri nabi (sallallahu ‘alayhi wasallam): Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda:
“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”.
[Hadis Riwayat Muslim (3/1565 no. 1977), an-Nasaa’I, Ibn Majah dan lain-lain]

Menurut Imam Nawawi rahimahullah:
“Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”.
[Syarah Muslim 13/138]

Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah:
“Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”.
[Al-Mughni 11/96]

Al-Hafiz Ibn al-Qayyim (rahimahullah) di dalam komentarinya kepada Sunan Abu Daud: “Nabi (sallallahu’ layhi wasallam) suka menyimpan rambut dan kukunya pada 10 (hari permulaan bulan Zulhijjah) agar baginda boleh memotongnya bersama –sama dengan berkorban, maka ianya menjadi sebahagian daripada kesempurnaannya di sisi Allah. Dan menyokong perkara ini juga bahawa baginda mensyariatkan mereka yang menyembelih Aqiqah untuk anak (yang baru lahir) agar mencukur rambutnya (bayi tersebut). Ini menunjukkan bahawa mencukur rambutnya bersama-sama dengan menyembelih (Aqiqah) adalah yang lebih afdal dan utama.”

Thursday, September 29, 2011

Pengemis: Antara yang hak dan batil...

Soalan: Assalamu’alaikum, Apa komen tentang cerita kat bawah ni… 
Ada segelintir masyarakat mengutuk habis terhadap peminta sedekah bila tau keadaan sebenar..ada segelintir pulak beserah saje…yg penting niat mereka bersedekah atas sebab apa. 

 [Cerita beserta gambar seorang peminta sedekah yang mencabut kaki palsunya, untuk meminta sedekah. Gambar menunjukkan beliau boleh berjalan seperti biasa dengan kaki palsunya, dan meraih RM40 lebih dalam masa 90min meminta sedekah, dan tiada respon kepada bacaan al-Fatihah]

Jawapan: Wa’alaikum salam warahmatullah wabarakatuh, Situasi ini mengingatkan saya kepada hadith dalam Sahih al-Bukhari, ringkasannya seperti berikut: Dari Ma'an (ra), Katanya: "Ayahku, iaitu Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang dengannya ia bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang di dalam masjid. Saya - yakni Ma'an anak Yazid - datang untuk mengambilnya, kemudian saya menemui ayahku dengan dinar-dinar tadi. Ayah berkata: "Demi Allah, bukan engkau yang kukehendaki - untuk diberi sedekah itu." Selanjutnya hal itu saya adukan kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda bersabda: "Bagimu apa yang engkau niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma'an." (Riwayat Bukhari) 

Ringkasnya, persoalan ini mestilah kita lihat menurut bahagian-bahagiannya, iaitu: 
 1. Orang yang memberi sedekah akan diberikan ganjarannya BERDASARKAN NIATNYA (seperti Yazid di atas) WALAUPUN tidak sampai wang sedekahnya kepada orang yang dimaksudkan, termasuk orang yang tidak berhak sekalipun. 
 2. Orang yang menerima sedekah berhak mengambil wang sedekah sekiranya dia berhak menerimanya (seperti Ma’an di atas). NAMUN sekiranya beliau tidak berhak menerimanya, maka beliau mendapat dosa dan ancaman azab Allah, dan ini tiada kesannya kepada orang yang bersedekah. 
 3. Pihak berkuasa mesti mengambil perhatian hal seperti ini, melalui siasatan dan tindakan sewajarnya, agar orang yang berhak diberi peluang untuk menerima sedekah dan orang yang tidak berhak tidak menerima sedekah. Kita kesal dengan kewujudan kes-kes seperti ini, tetapi janganlah dijadikan alasan kita tidak bersedekah kepada yang kelihatan ‘pada zahirnya’ orang yang memerlukan. Kita dipertanggungjawabkan atas niat kita yang ikhlas atau tidak, dan ‘mereka’ pula dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka. 

 Orang mungkin kata: “Jangan beri sedekah kerana mereka ini penipu, dan sedekah akan menggalakkan mereka meneruskan kegiatan mereka!” 

 Saya jawab: 
 1. “Berilah sedekah! Kerana kita akan mendapat pahala yang kita harapkan, dan cara yang paling baik menghukum mereka adalah hukuman Allah! Sekiranya mereka benar-benar menipu, mengambil kesempatan, maka lagi banyak mereka ambil, lagi teruklah seksaan mereka di akhirat!” 
  2. “Siapa berani kata semua peminta sedekah tidak berhak dan menipu? Selagi kita tidak mengenali siapa yang memperdaya, kita lakukanlah kebaikan menurut anjuran Allah dan RasulNya. 

Siapa tahu bahawa: 
 a. mereka yang meminta ini mungkin telah ditinggalkan anak-anak mereka yang tidak bertanggungjawab, dan mereka tidak mampu atau tidak diterima untuk bekerja kerana kecacatan, atau lain-lain sebab.
 b. mereka banyak hutang kerana kos-kos perubatan, dan lain-lain. Maka, walaupun mereka menerima sedekah lebih banyak daripada orang yang berniaga, tetapi beban hutang mereka menyebabkan mereka tiada jalan lain. Dan ingatlah sabda Rasulullah (saw): “Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima).” Walau berapa banyak mereka terima pun, orang yang berniaga dan memberi kepadanya adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang menerima sedekah.”
 c. mereka memang penipu dan mengambil kesempatan, tetapi satu hari hati kecil mereka akan tergerak oleh kebaikan dan kemurahan hati orangramai, sehinggakan mereka bertaubat, dan melakukan banyak kebaikan selepas itu pula, dan kita mendapat pahala lebih daripada amalannya pula kerana kita penyebab dia insaf dan taubat. 

 Semoga Allah memberikan hidayahNya pada kita semua.