Tuesday, January 11, 2011

Apakah maksud: “Saya Seorang Muslim?”

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah mati kecuali dengan keadaan Islam.”
[Ali ‘Imran: 102]

Kata ulama tentang intipati “Islam”:

الإسلام هو الاستسلام لله بالتوحيد والانقياد له بالطاعة، والبراءة من الشرك وأهله
“Islam adalah menyerah diri kepada Allah dengan Tauhid, patuh kepadaNya dengan ketaatan, dan melepas diri daripada syirik dan orang-orangnya.”

Seseorang itu masuk Islam dengan Dua Kalimah Shahadah, yang merupakan rukun pertama di antara rukun-rukun Islam:

Daripada Abdullah ibn Umar radhiyallahu ‘anhuma: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Islam dibina di atas lima (rukun); persaksian tidak ada ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan salat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadan".
[al-Bukhari (1/7) dan Muslim (1/34)]

Shahadatain – (Dua Kalimah Shahadah):
1. Persaksian bahawa tiada ilah selain Allah
2. Persaksian bahawa Muhammad adalah utusan Allah

DUA KALIMAH SHAHADAH dikatakan sebagai KUNCI SYURGA. Tetapi setiap kunci mempunyai lurah-lurah (giginya) dan sekiranya tepat maka pintu akan terbuka. Itulah perincian yang diperlukan agar DUA KALIMAH SHAHADAH yang kita sebut DITERIMA OLEH ALLAH.

Dua Kalimah Shahadah, merupakan UNGKAPAN PENGISYTIHARAN tentang KOMITMEN terhadap DUA PERKARA PALING PENTING DI DALAM ISLAM:
1. TAUHID (Pengesaan Allah di dalam semua Hak-HakNya)
2. ITTIBA’ (Pengesaan contoh ikutan HANYA kepada Rasulullah dan Sunnahnya)

TAUHID
TAUHID terbahagi kepada tiga aspek:
1. Tauhid Rububiyah – Pencipta, Pemberi Rezeki, Pentadir Alam
2. Tauhid Uluhiyah – Yang Berhak disembah, tanpa sekutu
3. Tauhid Asma’ was-Sifat – Memiliki Nama-Nama Husna, Bersifat Sempurna

Lawan Tauhid: SYIRIK.

Bahaya Syirik:
1. Allah tidak akan ampunkan dosa Syirik sekiranya tidak bertaubat daripadanya
2. Allah akan haramkan Syurga bagi pelaku syirik
3. Kesemua amalan baik terhapus dengan syirik
4. Tempat akhirnya Neraka selama-lamanya
5. Sebab utama Islam dalam keadaan lemah dan hina

ITTIBA’
ITTIBA’ pula termasuk:
1. Akui Kerasulannya
2. Ikrar dengan lisan
3. Ikut Ajarannya
4. Membenarkan sabdanya
5. Mencintai nabi lebih daripada semua makhluk
6. Sabdanya didahulukan

Lawan Ittiba’: BID’AH

Bahaya Bid’ah:
1. Setiap bid’ah yang timbul akan menghilangkan satu amalan Sunnah
2. Bid’ah adalah dosa besar
3. Pelaku bid’ah tidak akan bertaubat kerana sangkakan amalannya baik dan diterima Allah
4. Seolah-olah mendustakan Allah yang telah mengisytiharkan Islam sebagai lengkap dan sempurna.
5. Seolah-olah mengatakan Rasulullah tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk menyampaikan Islam dengan sempurna.
6. Sebab kedua Islam dalam keadaan lemah dan hina

Semoga Allah memberikan kita semua taufiq dan hidayah untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan memasukkan kita semua ke dalam Syurga.

Wednesday, December 29, 2010

Q&A: Bolehkah puasa ganti dan sunat digabung?

Mengenai puasa sunat 6 hari di bulan Syawal dan puasa ganti untuk bulan Ramadhan.

Soalannya:-

1) Bolehkah puasa tersebut dilaksana secara bergabung (1 hari = puasa sunat + puasa ganti) ?
2) Bagaimana dengan niatnya?

Sebab ada yg menyatakan boleh dilaksana sekali dengan 2 niat. Tetapi ada terbaca dalam artikel (tak ingat tajuk artikel) tidak boleh/tidak digalakan dilaksana sekali kerana tidak terdapat dalam amalan Nabi Muhammad S.A.W. Apa pandangan ustaz?

Jawapannya:
Pertama: Kita mesti memahami bahawa nas-nas al-Quran dan Hadith tidak bercanggah di antara satu sama lain, kerana punca wahyu adalah sama, iaitu Allah.
Kedua: Untuk mengeluarkan hukum, seseorang ulama mesti mengumpulkan semua dalil-dalil yang berkenaan dengan persoalan yang timbul lalu cuba mengeluarkan hukum yang sesuai dengan semua dalil-dalil yang ada, agar tidak ada dalil yang tertinggal.

Dalam persoalan ini, para ulama berbeza pendapat:
1. Pendapat pertama: Boleh menggabungkan puasa sunat dan puasa ganti, berdalilkan hadith berikut:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَمِعْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ قَالَ يَحْيَى الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Daripada Abu Salamat (RA): Aku mendengar Aishah (RA) berkata: “Sering aku perlu ganti puasa Ramadan tetapi tidak dapat mengqada’kannya kecuali dalam bulan Sya’ban.”
Berkata Yahya bin Kathir: “Kerana kesibukan daripada nabi, atau dengan nabi.” [Sahih al-Bukhari]

Ulama yang berpendapat demikian menetapkan bahawa adalah mustahil Aishah tidak puasa sunat langsung sebelum mengqada’kan puasa Ramadan.

2. Pendapat kedua: Tidak boleh digabungkan puasa sunat Syawal, berdalilkan hadith berikut:

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه قال سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْر
Daripada Abu Ayyub al-Ansari (RA): Saya mendengar Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam (hari) di bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa setahun.” [Sahih Muslim]

Sudah tentu salah satu daripada dua pendapat ini adalah pendapat yang tepat, kerana hukum Islam yang berasal daripada wahyu, tidak akan bercanggah. Maka kita perlu lihat kedua-kedua dalil yang disebutkan dan dilihat pendapat mana yang lebih sesuai bagi kedua-dua dalil tersebut.

Di sini, kita tumpukan perhatian kepada kata-kata di dalam hadith. Hadith nabi jelas menerangkan “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam (hari) di bulan Syawal.” Sekiranya kita kata boleh berpuasa Syawal dulu sebelum puasa Ramadan, maka itu akan bercanggah dengan sabda nabi “...kemudian diikuti...“ yang member maksud tertib atau turutan amalan tersebut. Nabi tidak bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, dan enam (hari) di bulan Syawal” yang boleh diertikan bahawa turutan amalan-amalan ini tidak penting. Ini menunjukkan kelamahan pendapat pertama.

Kemudian, jika dilihat kepada kata-kata Aishah, adakah bermaksud di sini Aishah tidak berpuasa sunat sepanjang tahun, sekiranya kita berpegang kepada pendapat kedua? Andainya:

1. Kita kata Aishah mesti berpuasa sunat walaupun tidak Qada’ puasa Ramadan, maka ini bercanggah juga dengan sebab Aishah tidak dapat berpuasa ganti, kerana melayan Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), kerana puasa wajib atau sunat, ianya tetap menghalang Aishah melayan suaminya. Dan kita tahu juga daripada hadith Aishah yang lain bahawa nabi puasa hamper seluruh bulan Sya’ban, yang memberi peluang kepada Aishah mengqada’ puasanya.

2. Kita kata Aishah tidak berpuasa sunat kerana melayan suami, maka kefahaman ini tidak bercanggah dengan hadith “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti dengan enam (hari) di bulan Syawal.”

Oleh itu, saya katakan bahawa pendapat yang kedua lebih tepat dan sesuai dengan kesemua dalil-dalil yang ada tentang persoalan ini, dan ianya pendapat Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin, Shaikh Bin Baz dan lain-lain.

Maaf sekiranya panjang lebar perbahasannya. Ini adalah untuk membiasakan kita dengan cara ulama untuk menyelesaikan perselisihan pendapat, sekaligus memenuhi saranan al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah (Quran) dan patuhlah kepada Rasul (Sunnah) dan para ulama. Sekiranya kamu (para ulama) berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah). Itulah yang utamanya dan sebaik-baik tafsiran.”[an-Nisa’:59]

Allahu a’lam.

Monday, December 20, 2010

Tasfiyah dan Tarbiyah

Tasfiyah : Membersihkan ilmu daripada sumber yang batil atau yang tidak diterima oleh Islam
Tarbiyah : Mendidik umat Islam dengan ilmu yang telah dibersihkan

Sabda Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam):
“Umat ini akan terbahagi kepada 73 bahagian, kesemuanya di dalam Neraka,kecuali satu!”
Sahabat bertanya: “Siapa mereka, wahai Rasulullah?”
“Mereka yang berada di atas (jalan) sepertimana aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya.”
[Sahih – Abu Daud, Tirmizhi dan lain-lain]

Para ulama mengatakan bahawa hadith ini dan seumpamanya adalah tentang umat Islam akan terbahagi kepada 73, dan hanya satu yang selamat di Akhirat. Kata seorang ulama mazhab Shafi’e, Muhammad ash-Sharbini al-Khatib (m. 977H), di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Alfazh al-Minhaj (karangan Imam an-Nawawi (m. 676H)):
فَجَعَلَ الْكُلَّ مِنْ أُمَّتِهِ – “Maka (nabi) menjadikan semua golongan ini daripada umatnya(Islam).”

Hadith ini jelas memberi amaran kepada kita bahawa kita mesti pastikan kefahaman Islam kita adalah kefahaman yang betul. Sepertimana sesuatu gossip boleh merebak dari mulut ke mulut dan berubah wajah sehingga akhirnya terlalu banyak tokok tambahnya daripada keadaan asal, begitu jugalah Islam menghadapi perubahan yang sama sejak zaman Rasulullah sehingga sekarang.

Yang selamat, hanyalah mereka yang kembali memahami Islam menurut golongan terawal di dalam Islam, yang dididik sendiri oleh Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam), tidak lain dan tidak bukan, sahabat-sahabat Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam).

Dan kegemilangan Islam tidak akan kembali, sekiranya kita tidak kembali kepada Islam tulen ini.

Daripada an-Nu’man bin Basyir, beliau berkata:
“Kami sedang duduk-duduk di masjid bersama Rasulullah s.a.w., dan Basyir adalah seorang pendiam. Maka datang Abu Tha’labah al-Khasynee lalu berkata: “Wahai Basyir bin Sa’ad, adakah engkau menghafaz hadith Rasulullah s.a.w. tentang al-Umara’ (kepimpinan)?” Lalu Hudzaifah berkata: “Aku menghafaz khutbah baginda.” Lantas Abu Tha’labah duduk. Hudzaifah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
An-Nubuwwah (kenabian) berada bersamamu selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu berada di zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah (metod kenabian). Dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia akan mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu menghadapi zaman Malikan Jabriyah (raja diktator), dan ia berlaku selama mana Allah menghendakinya. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.
Kemudian kamu melalui zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwah, kemudian baginda diam.”
[Riwayat Ahmad 4/275, Abu Daud 4/211, At-Tirmizi 4/503 – Hadith Sahih]

Lima zaman disebutkan di dalam hadith ini:
1. Zaman kenabian – daripada Adam hinggalah kepada Rasulullah (‘alayhimus-salatu was-salam)
2. Zaman Khilafah di atas manhaj (metod) an-Nubuwwah (kenabian) – Zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, bermula dengan Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali (radiyallahu ‘anhum)
3. Zaman Malikan ‘Aadhan (raja menggigit)
4. Zaman Malikan Jabriyah (raja dictator)
5. Zaman Khilafah di atas manhaj an-Nubuwwah – Zaman munculnya Imam Mahdi dan Nabi Isa (‘alayhi as-Salam)

Selepas itu nabi diam..... Kiamat!

Lihatlah, bahawa zaman (1), (2) dan (5) memberi gambaran zaman Islam menurut kefahaman yang betul, dan amalan yang betul, dari segenap segi, termasuk Aqidah, ibadat, muamalat, dan sebagainya.