Friday, September 14, 2012

Adakah belajar bersanad menjamin kefahaman yang betul?

Kita beriman sebagai Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah bahawa isnad adalah penting dalam agama. Seperti kata Abdullah b. al-Mubarak: “Isnad adalah sebahagian daripada agama. Kalau tidak kerana isnad sudah tentu sesiapa boleh berkata apa sahaja yang dia mahu.”  [Muqaddimah Sahih Muslim]

Persoalannya: Isnad ini penting untuk tujuan apa?

Tujuan ilmu isnad atau ilmu riwayat adalah untuk mengenalpasti atau membezakan riwayat sahih dan riwayat lemah dan palsu. Ertikata lain, ianya diperlukan untuk mengetahui kesahihan kata-kata individu di pangkal isnad, bukannya tentang kesahihan kefahaman individu di hujung isnad. Contohnya: sesuatu hadith adalah suatu khabar atau riwayat yang mengandungi isnad daripada perawi yang mula2, iaitu seorang sahabat yang meriwayatkan hadith daripada Rasulullah di pangkal riwayat. Maka tujuan isnad adalah untuk mengetahui kesahihan hadith itu, samada Rasulullah benar-benar berkata demikian. Namun, isnad tidak menjamin kesahihan kefahaman perawi terakhir dalam isnad, kerana kemungkinan dia meriwayatkan sesuatu dengan jujur tetapi tidak memahaminya.

Apakah dalilnya?
1. Sabda nabi: “Hendaklah yang menyaksikan menyampaikan kepada orang yang tidak hadir. Kemungkinan orang yang menerima (khabar) lebih memahami daripada orang yang mendengar.” [Timizhi, Ibn Majah dan lain] Dalam riwayat lain pula: “Kemungkinan orang yang membawa Fiqh (hadith) akan menyampaikan kepada orang yang lebih memahami.”

2. Dengan melihat hakikat semasa, kita akan dapati isnad bukan jaminan kefahaman yang betul, mahupun kefahaman yang sama tentang agama. Contohnya: di India dan Pakistan ada dua aliran besar umat Islam, iaitu Deobandi dan Ahli Hadith, yang mana shaikh2 yang ada semuanya mempunyai isnad masing2 kepada Rasulullah, dan semuanya melalui Shah Waliyullah ad-Dehlawi. Kita dapati kedua-dua aliran ini banyak perbezaannya dari segi kefahaman walaupun isnad masing2 bertemu pada Shah Waliyullah ad-Dehlawi sebelum ianya bersambung sehingga ke Rasulullah. Bagaimana dua aliran berbeza keluar daripada sumber isnad yang sama? Ini belum mengambil kira aliran2 lain lagi di dunia Islam yang banyak mendakwa mempunyai isnad masing2. Inilah maksud ana versi Islam berlainan walaupun ada isnad.

Oleh itu, isnad tidak sama sekali memberi jaminan kefahaman individu2 di hujung isnad adalah benar.

Apakah rujukan sebenarnya, agar umat Islam dapat merujuk kefahaman yang betul?

Rujukan sebenar adalah seperti berikut dengan dalilnya:
1. Quran dan Sunnah, dalilnya adalah Firman Allah: “Sekiranya kamu berselisih tentang sesuatu, maka rujuklah ia kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah).” [an-Nisaa: 59]

2. Kefahaman sahabat2 nabi, dalilnya hadith nabi apabila ditanya siapakah golongan terselamat setelah umat berpecah kepada 73 aliran: “(Sesiapa yang berada) di atas jalanku dan sahabat2ku.” [Tirmizhi]

3. Kefahaman ulama2 terawal, dari kalangan salaf as-soleh kerana pujian nabi: “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi yang selepasnya, kemudian generasi yang selepasnya.” [Bukhari dan Muslim] Ini adalah berkaitan dengan mengikut jalan atau kefahaman para sahabat juga.

Oleh itu, isnad tidak relevan dalam menentukan kesahihan kefahaman individu2 di hujung isnad, tetapi hanya untuk menentukan kesahihan kata2 individu di pangkal isnad. Kesahihan kefahaman pula, mestilah dirujuk kembali kepada kefahaman individu2 di pangkal isnad, iaitu kefahaman Rasulullah, sahabat2nya, dan generasi salaf as-Soleh, serta ulama2 khalaf yang mengikut jejak langkah dan kefahaman salaf as-soleh.