Monday, April 9, 2012

Sebaik-baik manusia adalah yang sering bertaubat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

Daripada Abu Hurairah (ra) berkata: Rasulullah (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda:
"Demi (Allah) yang jiwaku di dalam TanganNya, sekiranya kamu tidak melakukan dosa, sudah tentu Allah lenyapkan kamu lalu mendatangkan dengan satu kaum yang melakukan dosa lalu meminta ampun daripada Allah lalu Dia memaafkan mereka."
[Sahih Muslim]

Apabila kita mendengar hadith ini, kita akan merasa pelik. Mengapakah Allah mahu lenyapkan kaum yang tidak melakukan dosa dan menggantikan dengan kaum yang melakukan dosa? Bukankah Allah benci kepada dosa?

Sheikhul-Islam Ibn Taymiyah dalam penerangannya tentang taubat (menyesal dosa yang lepas, berhenti dan berazam tidak mengulangi) :
'Tetapi kita tahu bahawa taubat adalah disyariatkan bagi setiap hamba, bagi para nabi dan selain mereka, dan kita tahu bahawa Allah mengangkat (darjat) hambaNya dengan taubat , dan (mengangkatnya) ketika Dia mengujinya dengan sesuatu yang menyebabkan dia bertaubat daripadanya. Oleh itu, yang dimaksudkan (dengan pensyariatan taubat) adalah kesempurnaan akhirnya dan bukan kekurangan permulaannya.

Sesungguhnya, Allah cinta kepada orang yang selalu bertaubat, dan cinta kepada orang yang selalu mensucikan dirinya, dan Dia menukarkan amalan-amalan jahat dengan amalan-amalan baik. Dosa yang disertakan taubat, semestinya terhasil bagi orang itu ibadat, khusyuk, tawadhu', doa dan selain itu yang tidak terhasil sebelum itu.

Oleh itu, sebahagian ulama salaf berkata:
"Sesungguhnya seorang hamba akan melakukan dosa lalu masuk kerananya ke dalam syurga, dan dia melakukan amalan baik lalu masuk ke dalam neraka kerananya. Dia melakukan dosa dan sentiasalah ianya menjadi perhatiannya apabila mengingatinya, dia bertaubat kepada Allah dan berdoa kepadaNya dan khusyuk kepadaNya lalu dia masuk Syurga kerananya. Sedangkan (yang seorang lagi) melakukan satu kebaikan lalu menjadi ujub (bangga diri) kerananya lalu masuk neraka."

Dalam satu riwayat:
"Sekiranya kamu tidak melakukan dosa, sudah tentu aku takut bagi kamu apa yang lebih besar daripada dosa, iaitu sifat ujub."
[al-Bazzar - Hasan lighairihi]

Dalam athar lain:
"Sekiranya taubat bukan sesuatu yang paling dicintai olehNya, sudah tentu Dia tidak menguji makhluk yang paling mulia dengan dosa." '
[Dinukilkan daripada kitab Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyah oleh Ibn Taymiyah]