Thursday, September 29, 2011

Pengemis: Antara yang hak dan batil...

Soalan: Assalamu’alaikum, Apa komen tentang cerita kat bawah ni… 
Ada segelintir masyarakat mengutuk habis terhadap peminta sedekah bila tau keadaan sebenar..ada segelintir pulak beserah saje…yg penting niat mereka bersedekah atas sebab apa. 

 [Cerita beserta gambar seorang peminta sedekah yang mencabut kaki palsunya, untuk meminta sedekah. Gambar menunjukkan beliau boleh berjalan seperti biasa dengan kaki palsunya, dan meraih RM40 lebih dalam masa 90min meminta sedekah, dan tiada respon kepada bacaan al-Fatihah]

Jawapan: Wa’alaikum salam warahmatullah wabarakatuh, Situasi ini mengingatkan saya kepada hadith dalam Sahih al-Bukhari, ringkasannya seperti berikut: Dari Ma'an (ra), Katanya: "Ayahku, iaitu Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang dengannya ia bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang di dalam masjid. Saya - yakni Ma'an anak Yazid - datang untuk mengambilnya, kemudian saya menemui ayahku dengan dinar-dinar tadi. Ayah berkata: "Demi Allah, bukan engkau yang kukehendaki - untuk diberi sedekah itu." Selanjutnya hal itu saya adukan kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda bersabda: "Bagimu apa yang engkau niatkan wahai Yazid, dan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma'an." (Riwayat Bukhari) 

Ringkasnya, persoalan ini mestilah kita lihat menurut bahagian-bahagiannya, iaitu: 
 1. Orang yang memberi sedekah akan diberikan ganjarannya BERDASARKAN NIATNYA (seperti Yazid di atas) WALAUPUN tidak sampai wang sedekahnya kepada orang yang dimaksudkan, termasuk orang yang tidak berhak sekalipun. 
 2. Orang yang menerima sedekah berhak mengambil wang sedekah sekiranya dia berhak menerimanya (seperti Ma’an di atas). NAMUN sekiranya beliau tidak berhak menerimanya, maka beliau mendapat dosa dan ancaman azab Allah, dan ini tiada kesannya kepada orang yang bersedekah. 
 3. Pihak berkuasa mesti mengambil perhatian hal seperti ini, melalui siasatan dan tindakan sewajarnya, agar orang yang berhak diberi peluang untuk menerima sedekah dan orang yang tidak berhak tidak menerima sedekah. Kita kesal dengan kewujudan kes-kes seperti ini, tetapi janganlah dijadikan alasan kita tidak bersedekah kepada yang kelihatan ‘pada zahirnya’ orang yang memerlukan. Kita dipertanggungjawabkan atas niat kita yang ikhlas atau tidak, dan ‘mereka’ pula dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka. 

 Orang mungkin kata: “Jangan beri sedekah kerana mereka ini penipu, dan sedekah akan menggalakkan mereka meneruskan kegiatan mereka!” 

 Saya jawab: 
 1. “Berilah sedekah! Kerana kita akan mendapat pahala yang kita harapkan, dan cara yang paling baik menghukum mereka adalah hukuman Allah! Sekiranya mereka benar-benar menipu, mengambil kesempatan, maka lagi banyak mereka ambil, lagi teruklah seksaan mereka di akhirat!” 
  2. “Siapa berani kata semua peminta sedekah tidak berhak dan menipu? Selagi kita tidak mengenali siapa yang memperdaya, kita lakukanlah kebaikan menurut anjuran Allah dan RasulNya. 

Siapa tahu bahawa: 
 a. mereka yang meminta ini mungkin telah ditinggalkan anak-anak mereka yang tidak bertanggungjawab, dan mereka tidak mampu atau tidak diterima untuk bekerja kerana kecacatan, atau lain-lain sebab.
 b. mereka banyak hutang kerana kos-kos perubatan, dan lain-lain. Maka, walaupun mereka menerima sedekah lebih banyak daripada orang yang berniaga, tetapi beban hutang mereka menyebabkan mereka tiada jalan lain. Dan ingatlah sabda Rasulullah (saw): “Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima).” Walau berapa banyak mereka terima pun, orang yang berniaga dan memberi kepadanya adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang menerima sedekah.”
 c. mereka memang penipu dan mengambil kesempatan, tetapi satu hari hati kecil mereka akan tergerak oleh kebaikan dan kemurahan hati orangramai, sehinggakan mereka bertaubat, dan melakukan banyak kebaikan selepas itu pula, dan kita mendapat pahala lebih daripada amalannya pula kerana kita penyebab dia insaf dan taubat. 

 Semoga Allah memberikan hidayahNya pada kita semua.